Anggota KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa sijil halal yang digunakan premis dalam operasi di Nilai. FOTO Ihsan KPDNHEP
Anggota KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa sijil halal yang digunakan premis dalam operasi di Nilai. FOTO Ihsan KPDNHEP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Menggunakan logo dan sijil halal yang mengelirukan orang ramai, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menyita sebuah restoran dan kedai pinggan mangkuk di Nilai.

Pengarah KPDNHEP negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, tindakan itu diambil dalam operasi yang dijalankan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), semalam.

Menurutnya, kedua-dua premis berkenaan disiasat di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan perkataan "Halal" pada iklan kedai dan menggunakan logo halal pembekal barangan yang sudah tamat tempoh di dalam premis perniagaan.

"Operasi itu tertumpu kepada pemeriksaan penggunaan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ayat "ditanggung halal" atau "makanan halal" dan apa-apa petunjuk yang menunjukkan makanan boleh dimakan oleh orang Islam.

"Adalah menjadi kesalahan jika premis menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran dan mempamerkan sijil halal syarikat pembekal di restoran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ain Arjuna berkata, penggunaan perkataan halal yang mengelirukan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala bagi pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000.

Beliau berkata, kesalahan meletakkan makanan yang halal bercampur tidak halal sehingga mengelirukan orang awam pula, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya (individu) dan denda sehingga RM5 juta (syarikat atau pertubuhan perbadanan).

"Sejak awal tahun sehingga bulan ini, sebanyak 246 premis di seluruh negeri ini diperiksa dan sebanyak 12 premis melakukan kesalahan iaitu penggunaan logo halal syarikat pembekal bahan mentah, mengunakan sijil halal yang tamat tempoh dan mempamerkan tauliah sembelihan JHEAINS di premis makanan.

"Peniaga diingatkan supaya tidak menggunakan logo halal, sijil halal atau mempamerkan apa-apa perakuan tanpa kebenaran JAKIM. Penggunaan sijil halal atau logo halal adalah untuk pemegang sijil halal sahaja," katanya.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan orang ramai membuat aduan terhadap penyalahgunaan logo atau sijil halal melalui [email protected] atau menghubungi KPDNHEP Negeri Sembilan melalui talian 06-6016500.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 5:07 PM