ANGGOTA penyiasat melintasi sisa mayat pengebom berani mati yang menyerang rumah Obaiduallah, semalam.
ANGGOTA penyiasat melintasi sisa mayat pengebom berani mati yang menyerang rumah Obaiduallah, semalam.
AFP

Jalalabad (Afghanistan): Sekurang-kurangnya 13 terbunuh selepas seorang pengebom berani mati menyerang rumah seorang ahli politik terkenal di Jalalabad semalam, kata pihak berkuasa, serangan kedua di bandar itu dalam tempoh kurang seminggu.

Taliban tidak mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu yang mengakibatkan 14 orang cedera pada hari sebelum pusingan baru perbincangan empat negara dijadualkan dilaksanakan, bertujuan memulakan semula rundingan damai bersama kumpulan pemberontak itu.

Serangan terbaru berkenaan berlaku ketika ‘jirga’ - himpunan ketua puak - di rumah ahli politik Obaiduallah Shinwari yang terselamat.

“Seramai 13 terbunuh dan 14 cedera dalam serangan pengebom berani mati di rumah itu,” kata kenyataan pejabat gabenor wilayah Nangarhar.

Obaiduallah anggota terkenal majlis wilayah Nangarhar dan keluarganya turut memainkan peranan aktif dalam politik tempatan.

Serangan semalam yang terbaru sejak Rabu lalu apabila anggota Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab atas serangan selama empat jam menggunakan senjata api serta bom di pejabat konsulat Pakistan.

Tiga penyerang dan tujuh anggota keselamatan terbunuh dalam serangan itu - yang pertama dilaksanakan IS di Afghanistan dan bangunan kerajaan Pakistan.

Kumpulan itu semakin menapak di Afghanistan seterusnya mencabar Taliban di tempatnya sendiri.

Antara lain, IS berjaya menarik pejuang Taliban menyertainya. Malah, ia mempunyai rancangan radio sepanjang 90 minit berbahasa Pashto bertajuk ‘Suara Pemerintahan Khalifah.’

Kerajaan berusaha menyekat rancangan itu yang disiarkan dari lokasi tidak didedahkan dan bertujuan menarik rekrut baru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:10 AM