KAWASAN stok penyimpanan bauksit berhampiran PelabuhanKuantan semakin bertambah.
KAWASAN stok penyimpanan bauksit berhampiran PelabuhanKuantan semakin bertambah.
KAWASAN stok penyimpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan.
KAWASAN stok penyimpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan.
SEORANG penduduk mencari remis di Sungai Pengorak  yang berwarna merah akibat aktiviti perlombongan bauksit.
SEORANG penduduk mencari remis di Sungai Pengorak yang berwarna merah akibat aktiviti perlombongan bauksit.
RUDIAH membina empat unit rumah teres untuk disewakan menggunakan wang diterima daripada pengusaha bauksit.
RUDIAH membina empat unit rumah teres untuk disewakan menggunakan wang diterima daripada pengusaha bauksit.
ABD Ghani menggunakan wang diterima untuk membesar dan membaiki rumahnya di FELDA Bukit Goh.
ABD Ghani menggunakan wang diterima untuk membesar dan membaiki rumahnya di FELDA Bukit Goh.
KEADAAN laut merah dipercayaiakibat aktiviti bauksit di Tanjung Gelang.
KEADAAN laut merah dipercayaiakibat aktiviti bauksit di Tanjung Gelang.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Memiliki kenderaan mewah, membina rumah baru atau membesarkan kediaman sedia ada menjadi pilihan utama peneroka FELDA Bukit Goh dekat Kuantan selepas mendapat ‘durian runtuh’ daripada aktiviti perlombongan bauksit di ladang tanaman kelapa sawit milik mereka.

Peneroka yang sebahagian besarnya berusia lingkungan 70-an menganggap ia rezeki pada penghujung usia dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kemewahan.

Tinjauan Harian Metro ke tanah rancangan kedua tertua di Pahang itu jelas melihatkan kesungguhan peneroka ‘menggapai’ apa diidamkan selama ini, malah sudah mengambil kira semua aspek selepas kontrak perlombongan yang dikatakan akan tamat dalam tempoh lima tahun.

Mengetepikan klise ‘peduli apa orang nak kata’ peneroka ditemui mempunyai alasan tersendiri selepas ditawarkan ganjaran lumayan apabila tanah yang diambil menerusi perjanjian dipersetujui dan ditandatangani sebelum itu.

Walaupun semua aktiviti berkaitan perlombongan bauksit dihentikan selama tiga bulan bermula 15 Januari hari ini, peneroka yang ditemui sudah bersedia dengan pebagai cabaran perlu diharungi terutama dari segi perbelanjaan bulanan.

Pasangan suami isteri, Mat Rejab Isa, 78, dan Rudiah Saat, 68, menganggap aktiviti perlombongan bauksit yang rancak dijalankan di FELDA berkenaan sebagai rezeki terpijak di penghujung usia mereka.

Katanya, pertemuan bersama beberapa pengusaha lombong bauksit pada April tahun lalu membolehkan mereka memiliki sedikit aset sebagai bekalan untuk anak cucu pada kemudian hari.

“Selepas menandatangani perjanjian saya menerima wang pendahuluan RM80,000 dan turut dimaklumkan akan menerima lebih RM1 juta daripada empat hektar tanah ladang berkenaan.

“Sehingga kini, saya sudah menerima bayaran RM800,000 daripada keluasan 1.4 hektar yang dikorek, manakala bakinya belum dilombong,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, dia memperuntukkan RM400,000 bagi membina empat unit rumah sewa dengan bayaran RM400 setiap rumah sebulan manakala sebahagian lagi disimpan untuk perbelanjaan keluarga.

“Alhamdulillah, kami masih ada pendapatan apabila kerajaan menghentikan aktiviti ini sementara selain menunggu bayaran balik daripada pengusaha bauksit,” katanya.

Katanya, dia bersetuju dibayar mengikut jumlah bauksit diangkut di ladangnya berbanding beberapa peneroka lain yang menerima bayaran RM21,000 setiap bulan selama tempoh perjanjian tiga tahun.

“Selepas melalui pelbagai ranjau dan rintangan selama menjadi peneroka, saya juga teringin ‘memegang’ wang dalam jumlah besar dan mungkin ini yang saya peroleh selepas melepaskan tanah sawit ke tangan orang lain.

“Nak kata menyesal... tidaklah kerana itu keputusan kami, cuma sekarang kami perlu berbelanja secara berhemah kerana tiada lagi pendapatan, sebaliknya bergantung kepada bayaran rumah sewa saja,” katanya.

Bagi Abd Ghani Hamzah, 78, dia mengambil keputusan membaiki rumahnya selepas mendapat wang hasil pajakan tanah seluas 3.2 hektar daripada pengusaha bauksit.

“Walaupun baru menerima RM120,000, saya tetap dengan keputusan membaiki rumah walaupun kos sebenar mencecah RM210,000 kerana ada beberapa bahagian sudah dimakan anai-anai.

“Saya sepatutnya menerima jumlah yang lebih besar tapi pengusaha menghentikan bayaran sejak beberapa bulan lalu tanpa memberi penjelasan sebenar,” katanya.

Menurut bapa kepada 10 anak itu, pada April tahun lalu, dia didatangi beberapa individu memperkenalkan diri sebagai pengusaha bauksit untuk melihat tanah ladang sawitnya seluas empat hektar.

“Mereka menyerahkan wang RM500 untuk melihat tanah. Selepas perbincangan, persetujuan dicapai iaitu kira-kira 3.2 hektar tanah akan dikorek bagi mengeluarkan bauksit, manakala bakinya tidak diusik kerana kawasan paya.

“Saya tak tahu bagaimana dengan nasib kami sekeluarga jika selepas tiga bulan ini mereka terus mendiamkan diri sedangkan ladang sudah dikorek dan ditinggalkan begitu saja,” katanya.

Bagaimanapun, Abd Ghani dan isteri, Fatimah Mohd Zain, 74, tetap bersyukur kerana pada usia emas, mereka berpeluang memperoleh rezeki ‘terpijak’ dan menggunakan wang berkenaan untuk membaiki rumah yang uzur.

“Jika ladang tidak diusik untuk mengambil bauksit, mungkin tiada rezeki saya untuk membaiki rumah untuk keselesaan anak cucu yang balik kampung,” katanya.

Bijak memikirkan masa depan anak cucu, peneroka berasal dari Pulau Tioman, Mubin Mat Sohor, 76, hanya membenarkan 1.4 hektar daripada keseluruhan empat hektar tanah sawitnya dilombong bauksit.

“Saya bersetuju berbuat demikian kerana sudah makin uzur manakala anak-anak juga ada kehidupan masing-masing dan tidak bergantung kepada hasil ladang sepenuhnya.

“Bagaimanapun, seorang daripada lapan anak saya sanggup mengambil cuti untuk memantau aktiviti perlombongan bagi memastikan pelaksanaannya mengikut perjanjian ditetapkan sebelum ini,” katanya enggan menyatakan jumlah sebenar diperoleh.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan aktiviti itu dihentikan, dia tidak perlu bimbang kerana masih ada pendapatan hasil tanaman sawit daripada baki ladangnya yang tidak dikorek.

“Ini rezeki terpijak di usia tua. Tiada apa yang perlu dikesalkan kerana kami sudah berbincang dengan anak-anak dan mereka bersetuju dengan cadangan saya,” katanya.

Mohamed Ibrahim, 71, antara peneroka yang memperoleh pendapatan terbesar kira-kira RM1.2 juta selepas syarikat menjalankan kerja melombong bauksit di tanah ladang sawit miliknya seluas kira-kira empat hektar.

Mohamed yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, berkata dia menggunakan pendapatan itu untuk mengubah suai rumah daripada tiga kepada enam bilik tidur serta enam bilik air yang menelan kos kira-kira RM200,000.

“Saya juga membeli kereta Toyota Camry dengan harga kira-kira RM100,000 dan Mercedes Benz terpakai RM15,000 secara tunai dan akan membeli Toyota Hilux kerana ia lebih sesuai digunakan di jalan dalam ladang sawit.

“Saya mendapat rezeki terpijak ini ketika sudah berusia 70 tahun. Saya bersyukur kerana tiada apa yang diinginkan dalam hidup ini selain mahu beribadat dan mencari keberkatan-Nya,” kata bapa kepada tujuh anak dan 20 cucu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 11:21 AM