KEADAAN sekitar lombong bauksit yang  ditinggalkan.
KEADAAN sekitar lombong bauksit yang ditinggalkan.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Perlombongan bauksit di Kuantan, khususnya di FELDA Bukit Goh tidak sepatutnya berlaku berikutan kedudukan sumber dalam kawasan penempatan manusia serta ladang tanaman.

Pakar Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, perlombongan bauksit bukan perkara asing kerana turut dijalankan di banyak negara termasuk Australia, Vietnam dan Indonesia.

“Bagaimanapun, mereka tidak berdepan isu alam sekitar kerana perlombongan dijalankan jauh daripada penempatan manusia.

“Namun, apa yang berlaku di Kuantan adalah sebaliknya hingga menjejaskan kehidupan masyarakat setempat serta mendatangkan pencemaran alam,” katanya.

Jelas Dr Azmi, banyak kesan negatif yang perlu difikirkan dalam tempoh lima tahun ini sekalipun penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan di Kuantan diperketat 100 peratus.

“Kalaupun sistem pengangkutan (memindahkan bauksit) dibuat mengikut prosedur, tanah yang dilombong tetap akan gersang.

“Ketika itu, tanah bukan saja tidak sesuai untuk sebarang tanaman terutama sawit, malah tidak boleh dijadikan kawasan penempatan.

“Dalam masa sama, imej Kuantan sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong juga akan terjejas,” katanya.

Mengenai keputusan peneroka yang bersetuju menerima tawaran syarikat perlombongan, Dr Azmi berkata, ia mungkin dipengaruhi wang ringgit.

“Saya percaya, apabila peneroka dijanjikan pulangan ratusan ribu atau jutaan ringgit, sudah pasti mereka bersetuju menerima manfaat kewangan sedemikian.

“Selain itu, tidak mustahil juga mereka mengambil kira status tanah yang tidak perlu ditukar milik, tapi masih menadah untung berlipat ganda.

“Namun ruginya mereka ini tidak memikirkan bahawa dalam tempoh 10 tahun akan datang, tanah dimiliki itu sudah hilang nilainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 8:58 AM