SHAHARIL mengutip cili padi bara di kebunnya.
SHAHARIL mengutip cili padi bara di kebunnya.
KAEDAH beg semaian berisi sabut kelapa digunakan untuk tanaman cili.
KAEDAH beg semaian berisi sabut kelapa digunakan untuk tanaman cili.
PEKERJA menimbang cili padi bara.
PEKERJA menimbang cili padi bara.
CILI padi bara sedia untuk dijual.
CILI padi bara sedia untuk dijual.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani


“Saya anggap ia satu ujian dan tak pernah serik untuk bangkit semula,” kata Shaharil Aria Alias, 29, apabila tanaman tebu yang baru berusia sebulan musnah dalam kejadian banjir besar di pantai timur pada penghujung 2013 menyebabkan dia kerugian RM6,000.

Dia yang bekerja sebagai jurujual kereta di Kuala Lumpur sanggup berhenti kerja dan pulang ke kampung di Temerloh untuk menceburi bidang baru yang jauh berbeza dengan kerjaya sebelumnya.

“Saya sudah merancang memasarkan tebu pada bulan puasa tahun berikutnya, tetapi semuanya ‘hanyut’ dalam banjir. Buntu juga memikirkan projek tanaman bersesuaian selepas itu.

“Pada masa itu saya nekad memulakan projek tanaman tebu dengan menyewa tanah jiran seluas 0.3 hektar di belakang rumah di Kampung Paya Tambang, Temerloh, Pahang,” katanya.

Tak patah semangat, Shaharil bangkit semula dengan fokus kepada tanaman cili padi yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.

“Saya mula mencari kaedah penamanan dan pasaran cili padi di Internet sehingga bertemu dengan ‘sifu’ cili padi dan berguru selama beberapa bulan untuk mendapat pelbagai maklumat berkaitan tanaman itu tanpa jemu.

“Tunjuk ajar daripada pengusaha tanaman cili di Selangor itu membuat saya terharu kerana dia tidak kedekut berkongsi ilmu pertanian yang ada padanya,” katanya.

Selepas memperoleh maklumat secukupnya, Shaharil sekali lagi tekad mengeluarkan wang yang disimpan selama tujuh tahun ketika bekerja berjumlah RM40,000 sebagai modal memulakan projek tanaman cili padi bara menggunakan kaedah fertigasi di kebun bekas tanaman tebu itu, Februari lalu.

“Selepas tiga bulan, tanaman cili saya mula buahkan hasil lumayan apabila mampu mengeluarkan hasil melebihi 100 kilogram (kg) setiap hari, ia di luar jangkaan sama sekali,” katanya yang menjual RM12 sekilogram bagi belian terus dikebunnya.

Menurutnya, sistem fertigasi lebih praktikal kerana hasil tuaiannya tiga kali ganda berbanding kaedah konvensional selain membantu mengurangkan gejala pokok ‘sakit’.

“Jika ditanam di atas tanah dengan siraman biasa, masalah timbul apabila jika satu pokok rosak diserang serangga perosak, ia akan meleret ke pokok lain jika tidak diperiksa berbanding polibeg.

“Penggunaan polibeg juga secara tidak langsung dapat menyelamatkan pokok kerana ia tidak menjangkit ke pokok lain. Hanya yang ada serangga perosak akan dirawat,” katanya.

Shaharil menggunakan baja organik yang pastinya lebih selamat dan meracun setiap tiga hari bagi mengelak serangan serangga perosak.

Bagi mempercepatkan proses kutipan, Shaharil mengupah penduduk kampung mengutip hasil dengan bayaran RM3 bagi setiap kilogram cili dikutip.

“Ketika pokok berbuah lebat saya mengupah antara 10 hingga 15 orang untuk mengutip cili dan mereka hanyalah kalangan suri rumah.

“Bagi yang cekap mereka mampu mengutip sehingga 10 kilogram sehari dan kutipan dibuat setiap hari untuk mengelak cili menjadi tua dan bertukar ke merah,” katanya yang sudah mengeluarkan kira-kira lima tan metrik cili bara itu sejak Mei lalu.

Shaharil berkata, dia menggunakan 100 peratus sabut kelapa untuk projek tanaman cili padi baranya itu.

“Saya membelanjakan RM4,000 untuk membeli sabut kelapa daripada penduduk dan pembekal sabut di kawasan sekitar dan berbaloi untuk 4,000 polibeg pokok cili,” katanya yang menggunakan benih cili padi bara dari Indonesia.

Menurutnya, cili padi bara berdahan rendang dan lebih kuat menahan rintangan angin menyebabkannya tidak mudah patah.

“Dari segi fizikal buahnya pula, cili padi bara mempunyai warna yang sangat cantik, terang dan berkilat dan jika diperhatikan hujungnya juga runcing.

“Cili ini juga lebih pedas daripada cili api kampung tapi permintaan di pasaran memang tinggi termasuk pengusaha sambal hitam Pahang dari Temerloh, Raub, Jerantut dan Lipis turut menempahnya,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera, Bandar 32, Bera.

Shaharil berkata, selepas kejayaannya membangunkan ‘tanah hutan’ menjadi kebun dan memperoleh pendapatan lumayan, penduduk mula mendekati dan memintanya ‘menurunkan’ ilmu pertanian untuk mengusahakan kebun sendiri.

Selain itu, Pegawai Jabatan Pertanian Daerah dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga turun padang mendekati Shaharil untuk dijadikan model membantu membangunkan projek sama dalam kalangan kalangan belia dan masyarakat setempat.

Bapa kepada dua anak itu menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan tanaman cili itu dan mahu mendidik peserta berubah ke pertanian moden tanpa menggunakan cangkul.

“Ketika ini saya membantu mereka bermula dari A sampai Z apabila saya menyediakan anak benih, membuat sistem aliran fertigasi sehingga mengeluarkan hasil,” katanya yang turut memantau projek tanaman cili padi di Lanchang, Paya Teladan, Maran dan Kuantan.

Shaharil mengakui masih tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan dan kini hanya mampu memasarkan cili padi baranya di Pasar Borong Selayang, Selangor; Pasar Borong Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur; Seremban dan Melaka.

Menurutnya, pengeluarannya terhad kerana kekurangan tapak tanah baru secara tidak langsung menyukarkannya memenuhi permintaan pasaran.

“Cili kegunaan harian dalam masakan. Permintaan sentiasa meningkat setiap masa dan saya perlu melipat gandakan usaha mencari tanah untuk tanaman ini.

“Saya berharap ada pihak membantu menambah bilangan kebun dengan menawarkan tapak tanah baru termasuk tanah rizab kawasan Felda,” katanya sambil menambah pengeluaran hasil tanaman cili boleh mencecah 100 kilogram sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 10:42 AM