BUAH terung yang ditanam secara fertigasi lebih mudah dijaga dan berkualiti.
BUAH terung yang ditanam secara fertigasi lebih mudah dijaga dan berkualiti.
Hafiz Ithnin


PEMUDA berusia 27 tahun ini puas kerana bergelar usahawan tani yang mengusahakan tanaman terung secara fertigasi.

Baginya, teknologi dalam tanaman itu sememangnya memberi kemudahan dan membuahkan hasil tanaman yang lebih baik.

Baharu sahaja melaksanakan projek tanaman terung fertigasi kira-kira setahun lalu, bagi Nor Faizi Mamat, tanaman fertigasi memudahkannya untuk pengurusan baja, air dan racun mengikut keperluan tanaman berkenaan.

"Apabila tanaman mendapat keperluan baja dan air secukupnya serta mampu terlindung daripada serangga perosak secara maksimum sudah pasti dapat menuai hasil tanaman yang lebih berkualiti.

"Untuk melaksanakan tanaman terung cara fertigasi ini, saya mengikuti pelbagai kursus supaya kaedah yang dilaksanakan itu betul," katanya yang mengusahakan tanaman itu di Marang, Terengganu.

Jelasnya, ilmu yang dipelajari daripada usahawan tani yang berpengalaman turut memberikan manfaat untuk melaksanakan kaedah fertigasi tanaman terung.

"Ketika ini ramai usahawan tani yang melakukan kaedah tanaman secara fertigasi bukan sahaja terung, tetapi juga tanaman yang lain seperti cili.

"Jadi, mudah untuk mendapatkan maklumat daripada mereka yang pernah melaksanakan kaedah ini supaya kita usahawan tani tidak mengalami kerugian," katanya.

Nor Faizi berkata, sejak mula hingga kini dia hanya menanam 1,400 pokok terung dengan menggunakan manfaat material sabut kelapa atau cocopeat sebagai medium tanaman utama berbanding di atas tanah.

"Sebelum saya melaksanakan tanaman terung fertigasi ini, saya sudah melaksanakan tanaman tembikai di atas tanah.

TANAMAN terung menerusi kaedah fertigasi memudahkan pengurusan tanaman.
TANAMAN terung menerusi kaedah fertigasi memudahkan pengurusan tanaman.

"Perbezaan yang boleh dilihat ialah tanaman di atas tanah lebih mudah diserang makhluk perosak berbanding menggunakan medium cocopeat yang dijadikan asas medium di dalam polibeg untuk tanaman terung ketika ini," katanya.

Jelasnya, apabila 'krisis' penyakit dan serangan makhluk perosak dapat dikawal dalam tanaman, sudah pasti menjadikan tanaman lebih baik.

"Menerusi pengalaman saya, satu pokok terung yang diusahakan secara fertigasi mampu mempunyai jangka hayat sehingga lapan bulan.

"Dalam tempoh itu beberapa kali hasil tanaman dapat dituai. Setakat ini, untuk buah sulung daripada pokok terung yang ditanam saya mampu kutip sehingga 150 kilogram (kg) bagi keseluruhan 1,400 pokok yang ada. Jumlah itu juga semakin bertambah dari masa ke masa," katanya.

Katanya lagi, benih terung mampu matang dalam tempoh 30 hari sebelum dipindahkan ke dalam polibeg yang mempunyai cocopeat sebagai medium utamanya.

NOR Faizi menuai hasil buah terung yang sudah matang.
NOR Faizi menuai hasil buah terung yang sudah matang.

"Secara keseluruhan, tempoh matang pokok terung untuk mendapatkan buahnya mengambil masa kira-kira dua bulan," katanya.

Daripada segi permintaan, katanya, terung adalah sayur yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi di pasaran dan harga jualan juga agak tinggi iaitu paling minimum RM5 sekilogram.

"Jadi saya melihat tanaman terung ini mampu memberi pulangan yang menarik kepada usahawan tani seperti saya.

"Apatah lagi dengan kaedah fertigasi, ia mampu membekalkan terung yang berkualiti kepada pasaran," katanya.

Katanya, bagi mereka yang ingin mengusahakan tanaman terung secara fertigasi perkara paling utama adalah ilmu untuk melaksanakannya.

"Sebagai usahawan tani baharu seperti saya sendiri sentiasa mencari ilmu supaya dapat melaksanakan cara tanaman yang betul.

"Cabaran di dalam dunia pertanian ini adalah kerosakan pokok disebabkan beberapa faktor seperti serangan makhluk perosak seperti serangga dan juga cara pembajaan yang tidak tepat. Jadi, kita perlu mempelajari teknik yang betul menerusi mengikuti kursus dan mendapatkan ilmu daripada mereka yang berpengalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 6:30 AM