Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak dan Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kuala Lumpur: Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2013 (Akta 1450) yang dipinda dan berkuatkuasa di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia mulai 1 Jun 2015 dilihat lebih lengkap dan melindungi kepentingan pembeli serta pemaju dengan menyeluruh.

Peguam Bela dan Peguam Cara Chur Associates, Chris Tan Chur Pim berkata, ramai beranggapan pelaburan untuk pemilikan rumah kediaman strata langkah kurang bijak kerana pembeli perlu membuat beberapa jenis pembayaran pada kadar tinggi.

Beliau berkata, satu-satunya kebimbangan adalah corak pemikiran dan pemahaman cetek dalam kalangan pengguna sama ada pemilik atau penduduk untuk menikmati faedah secara maksimum.

“Apabila mereka memilikinya, segala kos ganti rugi dilindungi menggunakan caj perkhidmatan dan dana terikat (sinking fund) berbanding pemilik rumah di atas tanah yang memerlukan mereka menanggung semua kerosakan dihadapinya,” katanya dalam ceramah hartanah “Impak terkini pindaan undang-undang pembangunan perumahan dan strata ke atas pembeli di Pameran Hartanah MyRumah di sini, semalam.

Beliau berkata, rakyat Malaysia mempunyai kurang kesedaran terhadap pindaan Hakmilik Strata.

Katanya, kerajaan wajar mengambil langkah menerusi platform pendidikan agar kesedaran mengenai akta berkaitan hartanah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. 

“Kehidupan di kawasan strata berkait rapat dengan persekitaran hidup bermasyarakat. Oleh itu, sebagai penduduk di kediaman strata, mereka perlu bertanggungjawab terhadap kediaman masing-masing termasuk membayar caj perkhidmatan dan dana terikat (sinking fund) tepat pada masanya dan menghadiri mesyuarat am tahunan kediaman,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi pembeli rumah pertama atau pelabur yang bijak, apa yang perlu diberi penekanan terhadap tiga aspek utama ialah bank, akta dan cukai.

Beliau berkata, orang ramai perlu bijak dalam memilih bank yang memberi kadar menarik dan bagaimana mereka boleh membuat pinjaman pada kadar maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:03 AM