Oleh Azlan Hafeedz
.

Dimarahi seorang warga emas gara-gara geram terhadap watak jahat yang dibawa cukup membuatkan pelakon kelahiran Machang, Kelantan, Balqis Rameshan, 25, terharu sekali gus membuktikan dia berjaya membawa watak itu dengan berkesan.

Pelakon dengan nama sebenar Rabiatul Balqis Rameshan ini berkata, watak jahat yang sering dilakonkan sejak 2008 sedikit sebanyak membantu 'menjelmakan' namanya di kaca televisyen walaupun sekadar watak pembantu.

Dia juga tidak pernah berkecil hati jika berdepan situasi demikian, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus membawa watak sedemikian.

Antara drama yang pernah dilakonkannya ialah Butang Baju Melayu, Tok Ketua, Setia Hujung Nyawa, Surat Cinta dan Tali.

Kini, pelakon yang mendapat didikan Datuk Rosyam Nor, Erma Fatima dan Sabri Yunus ini mampu tersenyum lebar apabila filem pertama lakonannya, Isyarat Cinta bakal ditayangkan di pawagam Januari ini.

Filem cinta arahan Bade Haji Azmi terbitan Suhan Movies Production itu turut dibintangi Fizo Omar, Liyana Jasmay dan Adi Putra.

Pelakon berdarah kacukan Melayu, Arab dan India ini berkata, walaupun masih belum berpeluang memegang watak utama, dia tetap bersyukur kerana sentiasa diberikan tawaran berlakon.

Terbaru, Balqis muncul dalam drama bersiri 16 episod berjudul Zahira yang ditayangkan di TV3 bermula 20 November lalu.

Dalam drama adaptasi novel cinta arahan Khalid Nazri itu, Balqis yang memegang watak Sofia turut bergandingan bersama Adi Putra, Zara Zya dan Azizah Mahzan.

Ibu kepada dua cahaya mata, Adellfea Raina Amini, 3, dan Arheanna Rafaella yang kini berusia lima bulan ini membuktikan kemampuan menjayakan watak komedi ketika berlakon dalam beberapa siri komedi antaranya Tan Tun, Biar Betul Bendul, Pangkin Atuk dan Moh Ke Kafe Kita.

"Memang banyak tawaran membabitkan cerita komedi. Namun, jika diberi peluang saya mahu mencuba watak lasak," katanya yang memiliki wajah mirip pelakon Intan Ladyana.

Dalam pada itu, status sebagai isteri dan ibu juga tidak menghalang Balqis untuk aktif dalam bidang lakonan kerana suaminya, Amini Ahmad Tabarani, 27, yang juga bekas penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan memahami kerjayanya itu.

Katanya, dia pernah membawa anak keduanya ke lokasi penggambaran kerana masih menyusu badan ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:03 AM