Syanty Octavia Amry

Jika sebelum ini dia popular dengan lagu Mimpi, bekas peserta Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Aisyah Aziz, 20, tampil dengan single kedua berjudul Cinta Paling Sejati.

Dihasilkan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer muda hebat, Aizat Amdan, lagu mengenai kisah cinta ini lebih meluas kerana boleh ditujukan kepada sesiapa saja yang disayangi.

Ditemui pada sesi pradengar lagu berkenaan, Aisyah berkata, dia gembira kerana hasrat mendapatkan lagu daripada Aizat terlaksana.

"Ini sebuah lagu yang senang dan mudah didengar oleh semua peringkat usia. Apabila mendapat lagu daripada Aizat, saya rasa teruja, apatah lagi saya seorang yang memang begitu teruja setiap kali hendak masuk ke studio.

"Dengan konsep lagu pop balada, saya akui suka dengan lagu ini meskipun jika dilihat pada gaya suara saya lebih terarah kepada genre muzik lagu Mimpi.

"Bekerjasama dengan Aizat juga satu peluang menarik yang memang saya nanti-nantikan. Saya berharap peminat suka dengan lagu ini," katanya.

Aisyah berkata, jika lagu ini tidak popular dia tetap akan bekerjasama dengan Aizat pada masa akan datang kerana begitu mengagumi kebolehan anak muda itu dalam menghasilkan lagu yang boleh menarik perhatian pendengar.

Dalam perkembangan lain, Aisyah berkata, meskipun jiwanya lebih kepada menyanyi, namun dia tiada masalah jika ditawarkan berlakon berikutan sebelum ini pernah berlakon dalam drama bersiri OMG yang disiarkan di TV3.

"Berlakon bukanlah bidang saya dan saya belum terfikir untuk menceburi bidang lakonan sepenuh masa tetapi jika diberi peluang saya mahu melakonkan watak seperti Mulan yang mengetengahkan wanita mempunyai semangat dalam mengatasi apa juga masalah yang dilaluinya," katanya.

Sementara itu, Aizat pula berkata, dia memilih Aisyah untuk menyanyikan lagu ini kerana suaranya yang menarik dan

sedap didengar. Ia ditambah dengan cara Aisyah membawa diri dalam bidang seni membuatkan dia rasa selesa untuk bekerjasama melalui lagu ini.

"Ketika pertama kali berjumpa dan bersembang dengan Aisyah, saya dapat lihat dia mempunyai visi dalam mencapai cita-cita sebagai anak seni.

"Selesa bekerjasama dengan Aisyah kerana dia tidak banyak kerenah dan berjaya menyanyikan lagu ini seperti apa yang saya harapkan.

"Dengan konsep pop balada dan sedikit R&B, saya merasakan suara Aisyah sangat sesuai menyanyikan lagu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:02 AM