AFIEQ. FOTO Faiz Anuar
AFIEQ. FOTO Faiz Anuar
Syanty Octavia Amry

Tidak terkilan single keduanya berjudul Darjat kurang mendapat sambutan, Afieq Shazwan tekad terus mempromosikan lagu berkenaan meskipun terikat dengan jadual penggambaran drama.

Afieq, 21, berkata, lagu Darjat dilancarkan ketika bertanding pada pentas akhir Big Stage tahun lalu.

Pada masa sama, penyanyi ini sibuk dengan jadual lakonan hingga karya itu terabai dan kurang mendapat perhatian.

Malah, konsep balada yang ditonjolkan juga menjadi antara faktor ia kurang diterima.

“Saya tidak pernah berhenti mempromosikan lagu Darjat malah dalam banyak persembahan nyanyian yang diterima, saya akan bawa lagu ini.

“Pelbagai promosi juga sudah diatur tetapi kurang menjadi. Mungkin orang lebih nampak saya sebagai pelakon hingga lagu itu tidak dipedulikan.

“Selain itu, saya rasa konsep balada kurang diterima peminat kerana berdasarkan maklum balas yang diberikan ramai lebih suka saya bawakan lagu pop,” katanya.

Afieq atau nama sebenarnya Muhammad Shafieq Shazwan Zamros juga menolak dakwaan terlalu mengejar semua cabang seni.

Baginya, tiada istilah tamak sebaliknya dia merebut peluang yang datang menggolek di hadapan mata.

“Nyanyian tetap menjadi keutamaan dan kerana itulah saya akan terus mempromosikan Darjat sehingga muncul single ketiga tidak lama lagi.

“Lakonan pula sudah sebati dengan diri dan kalau boleh, biarlah nyanyian dan lakonan berjalan seiring.

“Sekarang saya hanya fokus berlakon pada Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu dan Ahad saya menyanyi. Lagipun, tawaran persembahan nyanyian kebanyakannya pada hujung minggu,” katanya.

Mengulas single ketiga, Afieq berkata, dia akan bekerjasama dengan Haqiem Rusli dalam penghasilan lagu dan lirik.

“Peminat lebih gemar saya menyanyikan lagu pop dan insya-Allah, jika tiada aral saya akan muncul dengan lagu baharu bersama Haqiem.

“Saya yakin single ini menepati selera pendengar dan ia sudah pun dirakam. Jika berjalan seperti yang dirancang, ia dilancarkan selewat-lewatnya selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:01 AM