AISYAH
AISYAH
Sudirman Mohd Tahir


Buat pertama kalinya penyanyi tinggi lampai, Aisyah Aziz tidak dapat berpuasa bersama keluarga tercinta di Singapura.

Aisyah, 22, berkata, jadual kerja yang padat termasuk terikat dengan program TV, amal kebajikan dan banyak lagi menyukarkannya pulang ke negara kelahirannya.

“Pada mulanya saya sedih kerana berpuasa tanpa ditemani ibu bapa dan adik-beradik lain. Saya bersendirian di Kuala Lumpur kerana abang juga pulang ke Singapura.

“Suka atau tidak, saya perlu akur dan membiasakan diri. Biarpun sekadar 15 hari pertama ini saja, saya tetap kesunyian. Rutin biasa yang dibuat bersama keluarga pada Ramadan tidak dapat dilaksanakan.

“Inya-Allah, Ramadan ke-16 saya pulang bagi menjayakan program berbahasa Inggeris terbitan stesen TV di sana. Ketika itu barulah saya berpeluang bersama mereka. Tidak sabar rasanya bertemu keluarga tercinta,” katanya.

Sambung bekas peserta program Akademi Fantasia 2013 (AF2013) ini, setiap hari dia hanya melihat keriuhan dan kemeriahan keluarganya menyambut Ramadan menerusi aplikasi Snapchat.

Namun, kesunyian Aisyah itu terubat apabila keluarga angkatnya di sini meluangkan masa berbuka puasa bersama.

Bergelar komposer

Penyanyi lagu Mimpi dan Pilihan sejati ini tampil dengan single ketiga berjudul Tanda Tanya.

Menurut Aisyah, lagu rancak itu jauh berbeza daripada dua lagu terdahulu.

“Lagu ini ciptaan Omar K dan lirik pula ditulis Ezra Kong. Saya sengaja memilih lagu ini kerana mahu keluar dari zon selesa. Selama ini saya menyanyikan lagu balada dan kali ini mahu cabar diri tampil dengan genre berbeza.

“Ternyata jiwa saya tetap genre balada. Namun, saya gembira percubaan ini berjaya apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat,” katanya.

Bukan sahaja menyanyi, adik kepada penyanyi Aliff Aziz ini turut berjinak-jinak dalam bidang penulisan lagu dan lirik.

“Buat masa ini, sudah ada lapan lagu dalam koleksi simpanan saya. Sejujurnya, saya tidak berbakat menulis lirik. Kalau melodi lagu, saya okey.

“Apa yang saya hasilkan masih jauh ketinggalan berbanding orang lain. Saya belum sampai tahap seperti komposer atau penyanyi lain. Perjalanan saya masih jauh dan kalau boleh ingin mendapatkan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman,” katanya.

Aisyah berkata, suatu hari nanti dia berharap satu daripada lagu ciptaannya itu dapat dimuatkan dalan album sulungnya.

Berkongsi mengenai minatnya yang suka merakamkan semula lagu penyanyi lain, Aisyah tidak pernah berasakan dirinya jauh lebih bagus daripada penyanyi asal.

“Saya tahu ramai berkata sedemikian setiap kali saya memuat naik video nyanyian di YouTube. Namun, bagi saya ia subjektif kerana pandangan orang berbeza-beza. Lagipun, setiap penyanyi ada cara dan gaya nyanyian tersendiri.

“Kalau nak tahu, saya memang sukakan lagu penyanyi lain. Saya jenis menghargai hasil karya pemuzik. Saya selalu tertanya-tanya macam mana mereka boleh hasilkan lagu dan lirik yang bagus,” katanya.

Tegas Aisyah, dia tidak berniat memalukan mana-mana penyanyi apabila cara nyanyiannya mendapat pujian melambung banyak pihak.

Antara lagu yang menarik perhatian peminat yang dinyanyikan semula semula Aisyah adalah Tung­gu Sekejap, Getaran Jiwa dan Titanium.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 8:20 AM