PACQUIAO (gambar) lawan Bradley.
PACQUIAO (gambar) lawan Bradley.

General Santos, Filipina: Juara tinju dari Filipina Manny Pacquiao sedia menamatkan kariernya selepas bertarung dengan Timothy Bradley, April ini, atas alasan mahu menumpukan perhatian terhadap politik sekali gus memadam peluang perlawanan ulangan bertemu Floyd Mayweather.

Pemenang lapan gelaran dunia itu yang bercita-cita menjadi presiden negaranya, berkata dia yakin dapat menduduki salah satu kerusi senat dalam pilihan raya umum Mei nanti.

Pacquiao berdepan peninju Amerika Syarikat Bradley buat kali ketiga, 9 April selepas tewas di tangan pesaing utamanya, Mayweather, Mei tahun lalu.

“Saya akan bersara daripada arena tinju untuk menumpukan perhatian kepada karier politik. Perlawanan menentang Timothy Bradley adalah yang terakhir,” kata Pacquiao dalam satu temubual di kediamannya, kelmarin.

Ahli Parlimen berusia 37 tahun itu menafikan laporan yang menyebut dia tidak akan sesekali bersara sebelum mengadakan perlawanan ulangan dengan Mayweather yang turut bersara selepas mengalahkan Pacquiao.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Tidak ada sesiapa yang menemubual saya mengenai perkara itu. Saya akan bersara selepas perlawanan pada 9 April,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:56 AM