DE La Hoya (kanan) sambung permusuhan lama dengan Mayweather (kiri).
DE La Hoya (kanan) sambung permusuhan lama dengan Mayweather (kiri).
Agensi

Los Angeles: Oscar De La Hoya berkata dia kini bersedia berentap sekali lagi dengan Floyd Mayweather selepas lima hari bertarung dengan Covid.

Legenda tinju itu mendapatkan rawatan di hospital selepas positif koronavirus awal bulan ini.

Pertarungannya dengan bekas bintang UFC, Vitor Belfort pada 11 September terpaksa dibatalkan dengan Evander Holyfield menjadi pengganti namun tewas mudah.

Tetapi Golden Boy, 48, menegaskan semangatnya tetap membara dan sedia menentang musuh lamanya, Mayweather.

Kedua-dua petinju kali terakhir bertarung 14 tahun lalu dalam salah satu pertarungan tinju terbesar dalam sejarah yang dimenangi Mayweather.

Ketika ditanya mengenai proses rawatan Covid, De La Hoya berkata kepada TMZ: "Lima hari menyeksakan!"

Katanya lagi: "Anda tahukan siapa akan saya desak untuk pertarungan saya seterusnya - Floyd Mayweather. Saya akan tawar Floyd Mayweather AS$100 juta (RM418 juta) - mari melakukannya".

De La Hoya ketika ditanya apa jangkaannya jika pertarungan menentang Belfort menjadi kenyataan, dia berkata: "Saya akan tumbangkan dia dalam masa 30 saat.''

Jaguh Amerika Syarikat berusia 48 tahun itu keluar hospital pada 8 September dan kini teruja untuk melakukan kemunculan semula.

Dia tidak bertarung sejak tewas kepada Manny Pacquiao pada Disember 2008 manakala Mayweather bersara selepas menentang Conor McGregor pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 11:44 AM