PACQUIAO (kanan) dan Mayweather bertarung pada 2015. FOTO Agensi
PACQUIAO (kanan) dan Mayweather bertarung pada 2015. FOTO Agensi
Agensi

London: Manny Pacquiao mencabar Floyd Mayweather untuk beraksi dalam perlawanan timbal balik dengan lokasi pertarungan di United Kingdom.

Ikon Filipina itu ditewaskan oleh Mayweather, yang mempunyai rekod 50-0 pada 2015, sekali gus menamatkan penantian selama lima tahun untuk menyaksikan pertembungan epik itu.

Walaupun ia menjana keuntungan £500 juta (RM2.6 bilion), perlawanan ulangan gagal menjadi kenyataan dengan kedua-dua legenda tinju itu kini sudah mengumumkan persaraan daripada sukan itu.

Mayweather, 45, sudah beraksi empat pertarungan pertunjukan sejak bersara iaitu selepas menewaskan bintang UFC, Conor McGregor, 34, pada 2017.

Sementara itu Pacquiao, 43, akan kembali pada 10 Disember ini menentang YouTuber dari Korea, DK Yoo, 42.

Juara lapan divisyen itu masih menaruh harapan untuk perlawanan semula dengan Mayweather tetapi meragui pertarungan itu akan menjadi kenyataan.

Pacquiao memberitahu Daily Mail: "Saya tidak pasti sama ada pertarungan sebenar akan berlaku kerana dia tidak mahu beraksi lagi.

"Dia mungkin berminat dengan perlawanan pertunjukan dan itu mungkin boleh berlaku. Tetapi untuk pertarungan sebenar, saya rasa tidak akan menjadi kenyataan."

Pacquiao bersara Ogos lalu selepas tewas kepada petinju Cuba, Yordenis Ugas, 36, dan menumpukan usahanya kepada kempen untuk menjadi presiden di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 11:31 AM