Fadzil gembira dengan prestasi skuad luncur ais negara. Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin
Fadzil gembira dengan prestasi skuad luncur ais negara. Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Kuala Lumpur: Acara luncur ais akan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur untuk kali pertama dan Malaysia muncul perintis kepada penganjuran acara sukan musim sejuk itu di Asia Tenggara.

Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) Fadzil Johan berkata acara tersebut dijangka diadakan di pusat luncur ais sedang dibina di Empire City, Damansara dan penyertaan rasmi sukan itu di Sukan SEA akan diumumkan Februari depan.

Beliau berkata sukan luncur ais menawarkan sepuluh pingat menerusi dua disiplin iaitu 'figure skating' dan 'short track' atau lebih dikenali sebagai acara 'ice racing' pada sukan dwitahunan itu.

"Figure skating ada dua pingat emas manakala short track menawarkan lapan pingat emas.

Sebelum ini atlet kita menjalani latihan di Sunway Pyramid dan IOI City Mall, Putrajaya.

"Selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan persatuan dapat menghantar atlet luncur ais ke Korea Selatan iaitu kuasa besar dalam acara short track. Minggu depan mereka akan Korea Selatan," katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk di Lillehammer, Norway, dari 12 hingga 21 Februari ini.

Majlis berlangsung di Wisma OCM menyaksikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menyerahkan Jalur Gemilang kepada Fadzil selaku Ketua Kontinjen negara dan atlet luncur ais Chew Kai Xiang.

Chew, 16, akan mengambil bahagian acara Figure Skating kategori lelaki.

Fadzil berkata atlet luncur ais akan berada di Korea Selatan selama sebulan sebagai persiapan sebelum menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Bulgaria pada 29 Januari dan Piala Dunia di Amsterdam pada 10 Februari.

Secara keseluruhan, Fadzil sangat berpuas hati dengan pencapaian atlet luncur ais apabila skuad negara memperoleh tiga pingat emas dan satu gangsa ketika beraksi di Kejohanan Terbuka Asia di Filipina.

Skuad Malaysia meraih satu pingat gangsa di Kejohanan Antarabangsa Qatar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fadzil berkata beliau yakin Chew akan memperoleh kedudukan terbaik pada Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk itu nanti.

Chew mengambil cuti selama setahun untuk menjalani latihan untuk mendapat kelayakan ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di PyeongChang.

Beliau berlatih di Korea Selatan, China dan terkini di Osaka, Jepun. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 3:26 PM