SKUAD luncur ais raih kejayaan cemerlang di Australia.
SKUAD luncur ais raih kejayaan cemerlang di Australia.

Subang Jaya: Persiapan Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM) untuk menghadapi Sukan SEA 2017 berada pada landasan tepat susulan kejayaan cemerlang atlet negara di Australia minggu lalu.

Pada kejohanan di Melbourne yang disertai atlet berpengalaman tuan rumah selain New Zealand, Amerika Syarikat, dan Korea Selatan, atlet negara Ariff Rasydan Fadzli meraih emas acara 1,000 meter, 500m (perak) dan 777m (gangsa) bagi membolehkannya layak ke Kejohanan Dunia di Bulgaria tahun depan.

Kejayaan Ariff itu diiringi peluncur senior Devin Wong yang turut layak sekali gus menyaksikan fasa pertama persiapan menghadapi Sukan SEA 2017, berjaya.

“Perkembangan ini memberi keyakinan kami untuk menghadapi Sukan SEA 2017. Kami mensasarkan memenangi enam daripada 10 pingat emas di Kuala Lumpur nanti.

“Pada 2017, sukan ini akan membabitkan dua disiplin, figure skating (dua emas) dan short speed track skating (lapan emas). Sasaran kami short speed track skating kerana dua atlet negara berada pada kedudukan baik dalam ranking dunia,” kata Presiden ISAM Billy Johan.

Malah David dan Ashley Chin kini menjadi peluncur terpantas di Asia Tenggara bagi kategori lelaki dan wanita.

“Kami merancang menghantar mereka menjalani latihan di Korea Selatan seperti tahun lalu,” katanya.

Jelasnya penganjuran kali pertama di Sukan SEA itu menjadikan ramai pihak mahu melihatnya dengan Filipina menyuarakan minat menganjurkannya pada edisi 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:03 AM