MARA Gigital kini dibuka.
MARA Gigital kini dibuka.
DRON jadi trend.
DRON jadi trend.
ISU Plaza Low Yat panaskan keadaan.
ISU Plaza Low Yat panaskan keadaan.
GST jadi teka-teki untuk prabayar.
GST jadi teka-teki untuk prabayar.
Oleh Afiq Hanif

Teknologi mengatasi banjir teruk melanda pantai timur dan beberapa kawasan lain hujung tahun 2014 membuka inisiatif teknologi pada tahun ini.

Meskipun banjir pada masa itu lebih teruk, persoalannya masalah sama berlaku setiap tahun mengundang persoalan mengenai keberkesanan persediaan menghadapi bah apabila kita sepatutnya mengambil iktibar atas apa yang berlaku pada tahun sebelumnya.

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) melancarkan portal togetherwithu.my yang menyepadukan maklumat berasaskan data terbuka dan media sosial untuk memberi maklumat kepada orang ramai.

Portal hasil inisiatif eBantuan Banjir terbabit memberikan beberapa maklumat lengkap, namun lebih baik sekiranya turut menyediakan ruang khas membolehkan sukarelawan yang sudah memberikan bantuan di lokasi tertentu menandakan kehadiran mereka.

Ia bagi mengelak pertindihan penghantaran serta menawarkan bantuan secara menyeluruh.

Kalau kita lihat di laman sosial dan beberapa laporan, beberapa kawasan tidak menerima bantuan berikutan sukarelawan tidak mendapat maklumat lengkap dan tidak mengetahui selok-belok kampung terbabit dengan terperinci.

Selain itu, kita perlu menyediakan data sistem maklumat data geologikal dan geoteknikal secara bersepadu yang menyediakan maklumat lengkap mengenai geologi kawasan terutama yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi bagi membantu mengawal banjir.

International Data Corporation (IDC), agensi penyelidikan pasaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) meramalkan permintaan terhadap telefon pintar terus meningkatkan sehingga 27 peratus tahun ini meskipun Malaysia baru melaksanakan GST yang mengakibatkan harga peranti naik sehingga enam peratus.

IDC turut menjangkakan GST memberi kesan negatif kepada pasaran PC tempatan pada suku kedua 2015.

Perbelanjaan pengguna dan komersial dijangka perlahan dan pasaran akan mengambil beberapa bulan untuk menyesuaikan diri dengan cukai baru, tetapi perlu kembali normal pada pertengahan suku ketiga 2015.

Dalam jangka masa panjang, komputer riba masih menunjukkan sedikit penurunan disebabkan oleh persaingan telefon pintar dan tablet. Desktop dijangka kekal rata kerana kitarannya kekal datang daripada segmen perusahaan dan sektor awam.

* Seorang lelaki memuat naik gambar pesawat mahu mendarat dipercayai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada akaun Instagram miliknya sehingga mencetuskan tahap kepopularan dron di negara ini.

Pemilik akaun terbabit mengambil gambar pesawat itu menggunakan dron atau UAV diterbangkan ke kawasan lapangan terbang itu yang dikawal dengan alat kawalan jauh.

Gambar berkenaan menjadi ‘viral’, sekali gus menimbulkan pelbagai maklum balas daripada pengguna laman sosial.

Malah, ada dalam kalangan mereka terutama peminat dron marah dengan tindakan lelaki terbabit.

Ia mengundang reaksi negatif apabila operasi menggunakan dron di kawasan lapangan terbang adalah suatu kesalahan mengikut Akta Penerbangan Awam 1969.

* Jenayah siber masih meluas pada tahun ini terutama mengekspoitasi bencana berdasarkan sumber bacaan pengguna di Internet.

Apabila berlaku bencana, sudah pasti kita terlalu teruja untuk membuka mana-mana berita berkaitan sehingga mengakibatkan sistem keselamatan terjejas.

Ancaman jenis APT atau Advanced Persistent Threats yang menunjukkan keupayaan mereka dalam menggunakan teknologi canggih dan pelbagai kaedah serta vektor untuk mencapai sasaran tertentu. Ia lebih kepada mendapatkan maklumat sensitif atau rahsia. Contoh paling mudah pastinya Gauss.

Pada 2013, sasaran APT tertumpu kepada sistem perkomputeran cloud pengguna yang popular seperti laman sosial selebriti dan tokoh politik.

Kebanyakan penganalisis belum yakin kaedah yang bakal dilakukan. Bagaimanapun, selepas penyerang mendapat maklumat yang diperlukan, mereka akan meghapuskan ‘malware’ secara senyap daripada peranti sasaran sebelum mangsa menyedari laman mereka sudah diserang.

Lebih-lebih lagi, individu yang mendapati mereka menjadi mangsa APT berkemungkinan tidak akan melaporkan serangan kepada media.

Ancaman APT termasuk jenis Naikon yang mengeksploitasi kes seperi Germanwings atau MH370 dan ia sangat aktif di Asia.

Serangan Naikon aktif di lapan negara iaitu Malaysia, Filipina, Kemboja, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Singapura dan Nepal.

CyberSecurity Malaysia menerima 6,800 laporan insiden keselamatan siber sehingga Julai lalu dengan penipuan, pencerobohan, gangguan siber mendahului senarai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, 2,000 insiden penipuan dilaporkan, diikuti pencerobohan (814 insiden) dan gangguan siber (270 insiden).

“Insiden keselamatan siber lain ialah laporan berkaitan kandungan, penghalang perkhidmatan, cubaan pencerobohan, kod berniat jahat, spam dan keterdedahan,” katanya.

Amirudin berkata, pendedahan kepada risiko ancaman siber kini tinggi berikutan hampir semua sektor awam dan swasta bergantung kepada teknologi komunikasi dan maklumat dalam perkhidmatan serta operasi perniagaan mereka.

* Seorang penganggur yang dikaitkan dengan kekecohan di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, Julai lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencuri telefon bimbit jenama Lenovo di pusat beli-belah itu.

Tertuduh, Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri telefon jenama Lenovo S860 berwarna hitam bernilai RM800 milik Techasia Boutique jam 4.47 petang pada 11 Julai lalu di Lot UG K021 UG Floor, Plaza Low Yat.

Kekecohan bermula Sabtu (malam) hingga awal pagi keesokannya apabila sekumpulan perusuh bertindak agresif membuat kecoh di pusat beli-belah itu kerana percaya khabar angin yang tersebar melalui laman sosial mendakwa insiden berpunca tertuduh ditipu peniaga ketika membeli telefon.

Hasil kejadian itu juga menjadi titik tolak kepada pembukaan pusat jualan gajet dan peralatan teknologi maklumat (IT) milik Bumiputera, MARA Digital di Menara MARA, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur.

Ia bukan bertujuan ‘berlawan’ dengan perniagaan di pusat IT lain yang sudah dikenali seperti Plaza Low Yat dan Digital Mall.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kewujudan premis di tingkat tiga yang menempatkan 38 usahawan Bumiputera itu bertujuan menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna.

Kementerian merancang mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah MARA Digital di setiap ibu negeri seluruh negara.

* Sama ada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap kad prabayar ketika ini kekal atau dimansuhkan terus menjadi persoalan sepanjang tahun 2015.

Ini berikutan belum ada pengumuman rasmi oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengenainya, sedangkan pada Mei lalu, kerajaan mengumumkan pembelian kad prabayar tidak akan dikenakan GST selepas enam bulan.

Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuk Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat pengumuman rasmi mengenainya supaya tidak timbul kekeliruan kepada pengguna.

* eSukan di Malaysia terbukti berdaya tahan dengan versi baru DOTA 2, arena esukan terus berkembang sehingga hari ini.

Pasukan Orange meneruskan tradisi Kingsurf di peringkat dunia dengan mendapatkan tempat ke3 dalam pertandingan The International 3 yang membawa balik RM1 juta hadiah wang tunai.

2015 juga tahun yang kita menyaksikan lonjakan populariti global dalam pemain tempatan seperti Musi.

Musi memenangi banyak kejohanan DOTA 2 dan pada masa sama membawa nama Malaysia di seluruh dunia.

Disebabkan tahap populariti esukan semakin berkembang pesat, Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) mula didaftarkan dan diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada 4 Disember 2014.

ESM diasaskan oleh Datuk Latt Shariman Abdullah dan mendapat pengiktirafan sebagai negara anggota esukan Antarabangsa oleh Persekutuan esukan.

Setiausaha Agungnya yang juga bekas pemenang dunia, Rinie Ramli berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2009 untuk pertumbuhan Internet di Malaysia, lebih 3.2 juta daripada 16 juta pengguna Internet menggunakannya bagi tujuan permainan ‘online’.

“PricewaterhouseCoopers dalam laporan analisis berkaitan hiburan dan media global 20122016 meramalkan bahawa pasaran permainan video di Malaysia dijangka berkembang daripada RM760 juta pada tahun lalu kepada RM972 juta menjelang 2016.

“Ia menunjukkan kadar peningkatan sebanyak 6.7 peratus dan sudah pasti masa yang sesuai untuk melabur dalam esukan serta mengambil kesempatan untuk menerajui pembangunan esukan di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 11:48 AM