FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: 'Markas' atau 'lubuk' segala penjenayah siber berhimpun.

Bermula dengan kumpulan penipuan pelaburan emas, pengedaran bahan cetak rompak, penjualan barangan terlarang sehingga kepada berita palsu.

Kebanyakan penjenayah siber dikesan gemar menggunakan platform Telegram kerana tahap sekuriti aplikasi berkenaan yang tidak mendedahkan nombor telefon pengguna.

Malah, pengguna Telegram tidak memerlukan nombor telefon untuk menukar identiti (ID) pengguna di dalam platform berkenaan dan ia boleh ditukar tanpa had.

Keadaan itu menimbulkan keperluan kerajaan untuk bekerjasama dengan pengendali platform berkenaan sekali gus menyelesaikan banyak masalah jenayah siber yang menggunakan medium berkenaan.

Bagaimanapun sehingga kini, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa penyedia perkhidmatan itu dilihat enggan bekerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu ini.

Pihak KKD juga menerima pelbagai aduan serta laporan daripada pelbagai pihak berhubung isu keselamatan siber, penipuan, pornografi dan penjualan barangan terlarang di Telegram.

Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang meneliti bentuk tindakan yang akan diambil sebelum dicadangkan kepada kerajaan.

Presiden Persatuan Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, platform berkenaan turut dijadikan pilihan penggodam untuk berkomunikasi sesama sendiri.

"Telegram menjadi pusat tumpuan penjenayah siber berikutan sistem maklumat pengguna yang dirahsiakan oleh penyedia Telegram sekali gus sukar untuk menyekat penjejakan nombor telefon dilakukan.

"Telegram hanya menggunakan identiti pengguna (ID) tanpa ada sebarang pendedahan nombor telefon," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Siraj berkata, berdasarkan kepada sistem privasi platform berkenaan, pengguna boleh memilih untuk menyembunyikan nombor telefon daripada kenalan di Telegram dan menyekat pemilik akaun Telegram tertentu daripada mengetahui nombor telefon didaftarkan atas identiti tertentu.

Beliau berkata, ID pengguna di Telegram juga boleh ditukar dengan mudah tanpa perlu sebarang syarat dan tiada istilah 'satu ID satu nombor telefon' untuk pengguna di Telegram.

Menurutnya, platform berkenaan menjadi pilihan medium 'komunikasi rasmi' untuk penggodam berinteraksi sesama mereka.

"Banyak insiden jenayah siber bermula daripada kumpulan di platform berkenaan khususnya berkaitan pelaburan yang tidak wujud.

"Pihaknya juga mendapati penyebaran cetakan filem secara haram juga berlaku dalam platform berkenaan secara 'soft copy' membabitkan banyak cerita tempatan yang baru sahaja ditayangkan di layar perak.

"Memang sukar kerajaan untuk menyekat secara menyeluruh penggunaan aplikasi ini yang berpangkalan di Rusia namun mungkin boleh difikirkan kaedah tertentu untuk mengurangkan risiko berlakunya jenayah siber," katanya.

Menurutnya, pengguna juga perlu memainkan peranan dengan lebih bijak supaya tidak mudah tertipu dengan sebarang bentuk skim pelaburan di platform maya.

Ramai terkena 'jerat' di Telegram

Kerugian lebih RM2 bilion berpunca jenayah siber direkodkan bermula 2019 sehingga Julai tahun lalu termasuk disumbangkan melalui aplikasi Telegram.

Ia turut membabitkan pelbagai bentuk jenayah siber seperti pembelian secara dalam talian, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, 'Macau scam', 'African scam', penipuan sistem pesanan ringkas (SMS) dan bermacam lagi penipuan.

Berdasarkan data serta rekod daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa menahan 33,147 suspek dan 22,196 individu sudah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan dilakukan sejak empat tahun lalu.

Nilai kerugian dikeluarkan PDRM sejak tahun 2019 hingga kini menunjukkan angka kerugian melebihi RM500 juta setiap tahun dan ia terus meningkat.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim berkata, banyak kes yang dirujuk kepada persatuan berkenaan memperlihatkan bahawa kebanyakan jenayah ini berlaku menerusi platform Telegram.

Beliau berkata, terdapat pengadu yang terpedaya dengan pelbagai skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan di Telegram.

"Apabila ditanya berhubung sumber maklumat (tawaran pelaburan) diperoleh, mereka akan memaklumkan di Telegram.

"Kita semua tahu bahawa sistem mesej digunakan Telegram adalah menggunakan identiti pengguna (ID) tanpa mendedahkan nombor telefon dan difahamkan bahawa itu adalah sebahagian daripada polisi privasi pengendali platform berkenaan.

"Akibatnya, ia sangat menyukarkan pihak berkuasa untuk menjejaki dalang di sebalik ID berkenaan walaupun ia tidak mustahil, namun sukar dan melambatkan proses tindakan perundangan," katanya.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan melihat semula terma terhadap penggunaan platform berkenaan kerana terdapat negara yang mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan aplikasi berkenaan di negara mereka.

"Secara asasnya, kita tidak mahu menyekat sebarang penyebaran bentuk teknologi, namun perlu juga kita fikirkan kesan besar terhadap perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2023 @ 12:00 PM