Dr Mohd Fauzi (tiga dari kiri) dan Asrul Muniff (kanan) bertukar dokumen perjanjian, semalam.
Dr Mohd Fauzi (tiga dari kiri) dan Asrul Muniff (kanan) bertukar dokumen perjanjian, semalam.

Kuala Lumpur: Universiti Putra Malaysia (UPM) optimis menjimatkan bil elektrik bagi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatannya sebanyak RM1.3 juta setahun menerusi pelaksanaan Kontrak Prestasi Tenaga (EPC).

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, UPM adalah universiti awam pertama di Malaysia yang melaksanakan EPC pada skala besar membabitkan pelaburan aset dengan kerjasama pintar antara universiti dan swasta.

Katanya, UPM juga mengambil langkah proaktif melaksanakan inisiatif penjimatan dan kecekapan tenaga seperti disaran kerajaan.

“Dengan jangkaan tarif elektrik meningkat pada masa hadapan, langkah EPC ini menjimatkan perbelanjaan UPM, sekali gus boleh menggunakannya untuk tujuan lain.

“Malah, pelaksanaan penjimatan tenaga melalui EPC meletakkan UPM dalam keadaan selesa memandangkan risiko kepada universiti rendah,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UPM dan Siaz Holding Berhad, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus John Ongkili dan Ketua Pegawai Eksekutif Siaz Holding Berhad, Asrul Muniff Azizan.

Asrul berkata, Siaz Holding Berhad menandatangani surat setuju terima tawaran tender EPC pada 8 April lalu dan peratus keuntungan hasil daripada penjimatan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus kepada UPM bagi tempoh lima tahun.

“Purata bil elektrik sebulan untuk fakulti terbabit adalah RM380,000 dan kami yakin menjimatkan antara 30 hingga 40 peratus bil elektrik sebulan selepas pelaksanaan EPC dijalankan sepenuhnya.

“Proses audit tenaga siap dijalankan dan jika bil elektrik meningkat selepas pelaksanaan EPC ini, kami akan membayar perbezaan terbabit kepada UPM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:04 AM