PERIKSA dan bersihkan peralatan rumah yang mempunyai sistem penyejukan dengan kerap.
PERIKSA dan bersihkan peralatan rumah yang mempunyai sistem penyejukan dengan kerap.
Muhamaad Razis Ismail


Dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, ramai yang menjadikan rumah sebagai tempat bekerja.

Terdapat banyak kelebihan bekerja di rumah termasuk pengurangan masa perjalanan selain menambahkan masa untuk menikmati detik-detik bermakna bersama keluarga.

Bagaimanapun, salah satu kekurangan apabila berada di rumah untuk tempoh masa yang lama adalah masalah bil air dan elektrik yang lebih tinggi akibat peningkatan penggunaan peralatan elektrik.

Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad, peralatan elektrik dengan sistem penyejukan seperti peti sejuk, penyaman udara dan penapis air antara punca peningkatan bil elektrik, manakala penggunaan air turut meningkat untuk menjalankan rutin harian seperti membersih dan memasak ketika berada di rumah.

Memandangkan keadaan semasa yang memaksa kita bekerja dari rumah selagi jumlah kes tidak berkurangan, sudah tiba masanya untuk kita memeriksa peralatan rumah yang menyumbang kepada penggunaan air dan tenaga banyak lalu.

Ia menerusi beberapa langkah mudah untuk mengurangkan perbelanjaan bil setiap bulan sambil meningkatkan kualiti persekitaran rumah kita.

Ini bukan sahaja bermanfaat untuk rumah dan kualiti hidup kita, malah dapat menghasilkan impak positif untuk alam sekitar kita.

1. Periksa peralatan rumah yang mempunyai fungsi penyejukan dan pertimbangkan peralihan kepada pilihan yang menjimatkan tenaga

Peralatan lama memerlukan lebih banyak tenaga untuk berfungsi berbanding yang baharu, terutama peralatan dengan sistem penyejukan seperti penyaman udara dan peti sejuk yang menggunakan kuasa paling banyak.

Keadaan ini menyumbang kepada bil elektrik yang lebih tinggi. Anda boleh mempertimbangkan untuk menggantikan peralatan penyejuk lama anda dengan peralatan yang diperakui 'Energy Star.'

Perakuan Suruhanjaya Tenaga ini adalah khas untuk pengeluar peralatan elektrik yang mematuhi piawaian ujian prestasi tenaga.

Menggantikan peralatan lama mungkin mahal pada mulanya, tetapi ia akan memberi banyak manfaat jangka panjang dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan jejak karbon daripada penjanaan elektrik.

Jika anda sudah menggunakan peralatan yang diperakui Energy Star, anda disyorkan untuk membersihkan peralatan dengan kerap untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan memanjangkan jangka hayat produk.

Penapis yang kotor dalam penyaman udara atau peti sejuk yang terlalu padat menghalang aliran udara dan membebankan peralatan untuk mengekalkan suhu.

2. Periksa dan bersihkan peralatan rumah yang mempunyai sistem penyejukan dengan kerap untuk mengekalkan kecekapan tenaga

Periksa kecekapan penapis air lama dan pertimbangkan untuk memasang penapis titik masuk utama untuk rumah anda.

Apabila bercakap mengenai penapis air untuk rumah, ramai yang mengaitkannya dengan penapis air atas meja atau bawah singki yang menapis kekotoran untuk air minuman lebih bersih.

Selain dari dua jenis penapis air ini, penapis air jimat tenaga titik masuk utama (POE) boleh juga dipasangkan di saluran paip utama yang membekalkan air ke rumah anda.

Jika anda sudah mempunyai penapis air di rumah, adalah digalakkan untuk menjalankan pemeriksaan berkala dengan pembekal perkhidmatan anda untuk memastikan penapis itu berfungsi dengan baik.

Selain gantikan model penapis air yang lama dengan model jimat tenaga baharu apabila sudah tiba masanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia, Koo Zao Cheong berkata, memasang penapis air POE membawa banyak faedah untuk rumah dan ia salah satu penyelesaian terbaik kepada pembaziran air serta penggunaan tenaga yang tinggi.

Apabila air tidak ditapis dengan betul sebelum mengalir dalam peralatan ini, sedimen akan meningkatkan penggunaan tenaga untuk peralatan kerana lebih banyak kuasa diperlukan peralatan untuk berfungsi secara optimum.

Dengan penapis air POE, ia boleh menghalang pembentukan sedimen, sekali gus memanjangkan jangka hayat dan memelihara kecekapan tenaga peralatan rumah.

3. Jangan lupa lekapan bilik mandi dan dapur anda

Anda mungkin perasan titisan air dari paip bilik mandi dan dapur anda. Dengan membaiki kebocoran ini, anda boleh menjimatkan air yang banyak setiap hari.

Selain membetulkan paip air yang menitis, anda juga boleh memeriksa sama ada paip dan kepala pancuran mandian anda dilengkapi dengan lekapan jimat air.

Berbanding lekapan lama, lekapan bilik mandi yang lebih baharu seperti tandas, kepala pancuran mandian dan paip dengan ciri-ciri aliran rendah direka untuk kecekapan air berbanding model lama selain boleh menjimatkan ratusan gelen sebulan.

Pertimbangkan untuk memasang kepala pancuran mandian aliran rendah dan tambahkan pengudaraan pada paip jika lekapan anda adalah model lama untuk memastikan tekanan air yang baik sambil mengurangkan pembaziran air.

4. Menggantikan mentol lampu lama dengan mentol lampu LED

Apabila kita berada di rumah pada waktu yang lama, sudah pasti lampu akan selalu dipasang. Mentol lampu yang anda gunakan boleh menjadi penyumbang utama kepada bil elektrik anda.

Salah satu cara untuk menjimat tenaga adalah dengan menggantikan mentol pijar kepada mentol LED kerana mentol LED menggunakan 25 peratus hingga 80 peratus kurang elektrik berbanding dengan mentol pijar.

Jika anda masih menggunakan mentol pijar, pertimbangkan untuk bertukar kepada mentol LED untuk penjimatan tenaga dan jangka hayat yang lebih lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 6:45 AM