Mangsa yang hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Mangsa yang hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Mayat penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu di sini petang semalam, ditemui tengah hari tadi.

Mayat Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli, 20, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 50 meter dari pantai 1.24 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata ahli keluarga mangsa membuat pengecaman awal dan mengesahkan identiti mangsa,

"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk bedah siasat.

"Seramai 69 pegawai dan anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terbabit dalam SAR," katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Terdahulu, media melaporkan, seorang penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Jenderam Hulu, Selangor hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu di sini, petang semalam.

Difahamkan mangsa mandi bersama 10 rakannya dan baru dua minggu datang ke pulau ini bagi menjalani latihan amali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 3:39 PM