DINDING sekolah menengah diconteng dengan kata-kata kesat. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DINDING sekolah menengah diconteng dengan kata-kata kesat. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Beberapa dinding di sebuah sekolah menengah diconteng dengan kata-kata kesat dipercayai dilakukan beberapa individu tidak bertanggungjawab di Sitiawan, Jumaat lalu.

Kejadian itu kemudian dimuat turun dalam media sosial dan menjadi viral sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Mohd Amin Zakaria berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkenaan kes terbabit.

Menurutnya, tindakan itu adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak berdisiplin kerana ia melibatkan vandalisme.

"Jika berlaku sebarang salah faham sehingga membawa kepada ketidakpuashatin individu terbabit perlu mengambil langkah bijak berunding dengan pihak sekolah.

"Pelbagai cara boleh dilakukan mengikut saluran yang betul sebelum mengambil tindakan sedemikian malah pintu rundingan sentiasa terbuka untuk berbincang," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan dan tindakan membuat susulan untuk memastikan kebenaran dan motif kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 11:04 AM