TANGKAP layar video tular yang memaparkan tindakan lelaki warga emas memandu van sekolah secara berbahaya dan melawan arus. FOTO video tular
TANGKAP layar video tular yang memaparkan tindakan lelaki warga emas memandu van sekolah secara berbahaya dan melawan arus. FOTO video tular
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Tindakan seorang lelaki warga emas memandu van sekolah secara berbahaya dan melawan arus di Jalan Lumut - Sitiawan, dekat sini, mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas video perbuatannya itu tular, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 19 saat itu yang dimuat naik pemilik akaun TikTok pada 6 petang, semalam.

Menurutnya, susulan itu, lelaki berusia 74 tahun terbabit ditahan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 8.20 malam, hari sama.

"Pemandu dan van sekolah berkenaan dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut dan mendapati kejadian berlaku kira-kira 7.15 malam, kelmarin. Ketika itu pemandu berkenaan membawa lapan pelajar sekolah berusia 13 tahun dan 14 tahun.

"Lelaki itu mengaku van yang dipandunya dalam keadaan tergesa-gesa kerana mahu menghantar pelajar berkenaan pulang ke rumah masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Perdana, Sitiawan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nor Omar berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

"IPD Manjung menyeru kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 4:07 PM