KESAN kebakaran itu. FOTO Ihsan Bomba
KESAN kebakaran itu. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Tindakan pantas bomba mengawal api berjaya mengelak dewan bedah sebuah hospital swasta, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.36 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi dan turut mendapat bantuan daripada BBP Manjung serta BBP Ayer Tawar.

Menurutnya, kebakaran membabitkan pendawaian elektrik dalam dewan bedah hospital berkenaan.

"Ketika kejadian, kakitangan hospital baru selesai melakukan satu pembedahan dan pesakit sudah dipindah keluar dan hanya ada kakitangan saja dalam dewan itu.

"Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bomba berjaya memadam kebakaran itu sebelum operasi ditamatkan pada 12.40 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 9:17 AM