ELEMEN dipentingkan pemilik butik hasil rekaan selesa, cantik.
ELEMEN dipentingkan pemilik butik hasil rekaan selesa, cantik.
MODEL menggayakan sebahagian daripada koleksi.
MODEL menggayakan sebahagian daripada koleksi.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Fesyen dalam berpakaian dianggap sebagai gaya yang diterima semua lapisan masyarakat dan kemudian menjadi ikutan.

Bagi pemilik butik Sofia Ellen, Sofia Ellen Abdullah sentiasa melihat fesyen sebagai satu keperluan untuk wanita lantas koleksi butik ini dipastikan selari dengan kehendak golongan itu.

Menurutnya, penampilan atau apa yang dipakai melambangkan peribadi seseorang dan ia memberi gambaran mengenai diri masing-masing, namun baginya ia lebih kepada menampilkan diri dengan pakaian yang menarik serta sopan.

Selesa dan cantik dua ciri yang sama penting namun dalam masa sama warna, kegunaan, kesesuaian, ketepatan dan juga lebih nilai tambah menjadi perkara dasar setiap produk yang dihasilkan butik itu.

Selain itu, produk yang dihasilkan mestilah lebih mudah didapati, dimiliki dengan harga munasabah serta kena dengan kemampuan pengguna.

Keistimewaan rekaan di Sofia Ellen ialah hampir semua koleksi yang direka khas sendiri itu boleh disuai padan dengan wanita berhijab atau sebaliknya.

Lebih menarik, Sofia Ellen turut menawarkan baju haji dan umrah yang direka khas menggunakan kain kapas premium yang tebal tapi lembut dan sejuk.

Terdapat lebih 20 pilihan warna dan rekaan supaya lebih banyak pilihan untuk pelanggan dengan menggunakan fabrik berkualiti premium dan berbeza daripada butik lain dari segi material dan corak kerana mengimport terus dari kilang di luar negara.

Antara koleksi yang mendapat permintaan ramai ialah gaun labuh dan disebabkan itu Sofia Ellen me­ngeluarkan rekaan terbaru stail ‘modest high street’ iaitu abaya kardigan untuk dipadankan dengan seluar sendat atau palazzo.

“Buat masa ini kami hanya tumpukan pasaran di dalam Malaysia sahaja walaupun ada permintaan dari Brunei dan Singapura.

“Ciri penting yang saya titik beratkan adalah dengan memastikan semua rekaan walaupun moden, tetapi kekal dengan gaya sopan kerana konsep kami adalah untuk wanita moden yang berhijab dan tidak kerana kami juga mempunyai pelanggan bukan Islam,” katanya.

Wanita berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata, antara fabrik yang digunakan dalam rekaannya termasuk georgette crepe, stretch jacquard, organza, sifon bercetak, manik dan dull satin.

Selain jubah dan blaus, Sofia Ellen turut menghasil­kan tudung dan selendang segera yang semakin mendapat perhatian wanita. Seperti selendang semi segera mahupun segera, setiap bentuk dan simetri tudung sangat ditekankan kerana kekemasan pada pemakai penting dalam rekaan tudung butik itu.

Lebih istimewa, koleksi tudung butik itu dijamin eksklusif kerana 100 peratus dicipta melalui pelbagai penambahbaikan dari segi bentuk dan potongan. Antaranya tudung Princess Sophia dan Princess Ameera daripada sentuhan tangan tukang jahit berpengalaman.

Selain itu, setiap rekaan akan ditambah nilai dari semasa ke semasa mengikut keperluan pengguna dan trend terkini.

Menyingkap pengalamannya dalam industri itu, Sofia berkata, pada peringkat awal perniagaan dia terlebih dulu mengambil baju daripada pemborong dalam dan luar negara.

“Bagaimanapun, menyedari rekaannya yang terhad selain material dan pilihan warna yang kadang-kadang terkeluar daripada cita rasa saya di samping persaingan yang juga semakin sengit membuatkan saya memberanikan diri untuk mengimport sendiri kain dari luar negara. Dari situlah bermulanya pengeluaran pakaian jenama saya sendiri.

“Saya meminati fesyen sejak dulu lagi dan sebelum membuka butik ini, saya bekerja di syarikat swasta di ibu negara dan berhenti selepas mendirikan rumah tangga atas permintaan suami.

“Menjadi suri rumah sepenuh masa selama tiga tahun dan ketika itulah saya memujuk suami untuk membenarkan saya membuka butik. Akhirnya suami akur kerana saya terlalu minat dalam bidang fesyen.

“Perancangan seterusnya saya berharap dapat membuat lebih banyak rekaan yang sesuai untuk pakaian ke pejabat dan kasual serta memperluaskan produksi untuk pakaian haji dan umrah,” katanya.

Dengan harga berpatutan tapi masih mementingkan kualiti, produk Sofia Ellen boleh didapati pada harga serendah RM39 hingga RM500.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan koleksi Sofia Ellen di No 6-43-02, Jalan Medan Pusat Bandar 8A, Bangi Sentral, 43650 Bandar Baru Bangi Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 10:21 AM