FESYEN labuh dan sopan.
FESYEN labuh dan sopan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Fesyen dalam berpakaian dianggap sebagai gaya yang diterima semua lapisan masyarakat dan kemudian menjadi ikutan dalam kelompok masyarakat terbabit.

Fesyen juga mempunyai gaya khusus dan berubah mengikut peredaran zaman. Islam tidak menetapkan bentuk atau cara pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadah.

Islam hanya menetapkan pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim. Namun begitu, tamadun Islam berperanan penting dalam cara pemakaian masyarakat Islam masa kini.

Bagi pemilik butik Dear Solehah Nursyafiqah Azhari, walau apa pun fesyen yang ingin digayakan, pakaian dan fesyen hendaklah selari dengan hukum syarak manakala pakaian tidak boleh menyebabkan dosa sama pada si pemakainya atau orang di sekitarnya.

Justeru, Nursyafiqah sentiasa melihat fesyen sebagai satu keperluan lantas koleksi butik ini dipastikan selari dengan kehendak agama.

“Semua koleksi pakaian kami labuh dan longgar selain mesra wuduk dan bersesuaian untuk ibu yang menyusukan bayi namun ia sesuai untuk semua peringkat umur.

“Pilhan warna yang kami gunakan juga tidak terhad manakala warna yang banyak dikeluarkan mengikut peredaran dan cita rasa penggemar fesyen seperti warna pastel yang menjadi kegemaran masa kini,” katanya.

Menggunakan material krep moss untuk baju dan krep como untuk tudung, kelebihan material ini tidak perlu digosok setelah dibasuh, tidak panas, selesa dan paling penting tidak mengikut bentuk badan bagi yang menggayakannya.

“Alhamdulillah penerimaan setiap penggemar baju Dear Solehah sangat memberangsangkan baik pasaran tempatan dan tidak kurang juga permintaan dari luar negara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia manakala baru-baru ini kami melantik ejen di United Kingdom.

“Sasaran kami supaya produk dari butik ini mampu membantu Muslimah berpakaian menutup aurat dengan lebih sempurna,” katanya.

Butik yang diusahakan bersama suaminya itu hanya bermula secara kecil-kecilan secara dalam talian dari rumah pada awal 2013.

“Kami bermula dengan 10 helai stok saja. Permintaan kian meningkat dan semakin ramai pelanggan yang mahu melihat sendiri produk yang ditawarkan.

“Memandangkan bilik stor yang dijadikan tempat simpanan produk semakin penuh, pada Disember 2013 kami mengambil keputusan membuka butik pertama yang juga pusat operasi jualan dalam talian di Shah Alam, Selangor,” katanya.

Bagi menampung permintaan, mereka mengeluarkan lebih 50 pilihan corak dan warna setiap bulan dengan produk mengikut trend dan permintaan pelanggan.

Bagi rekaan terbaru, butik berkenaan membuat cubaan pasaran dengan menghasilkan pakaian dalam kuantiti sedikit terlebih dulu.

“Perancangan seterusnya, kami akan menghasilkan rekaan selendang dan tudung yang lebih mudah bagi menggalakkan lebih ramai wanita Islam menutup aurat. Di samping itu, kami mahu menghasilkan lebih banyak rekaan pakaian dan corak baru yang lebih menarik supaya pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan yang semestinya menepati syariah,” katanya.

Dijual dengan harga berpatutan tapi masih mementingkan kualiti, produk boleh didapati pada harga serendah RM25 hingga RM169.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan koleksi Dear Solehah di butiknya di No15A Tingkat 1 Jalan Plumbum P7/P Seksyen 7, Shah Alam, Selangor atau Facebook dan Instagram Dear Solehah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:01 AM