JOACHIM LOEW
JOACHIM LOEW
AFP

SOCHI, Russia: Jurulatih Jerman, Joachim Loew menyifatkan pasukannya ‘bertuah’ selepas sepakan lencong Toni Kroos pada masa kecederaan membantu juara bertahan Piala Dunia itu menewaskan Sweden dan menghidupkan semula peluang mereka.

Ola Toivonen meletakkan Sweden di depan pada babak pertama sebelum Marco Reus menyamakan kedudukan dan selepas itu, anak didik Loew bergelut untuk menambah jaringan ketika masa permainan semakin menghampiri penghujung.

Tugas Jerman tampak makin sukar apabila pertahanan utama Jerome Boateng dibuang padang pada minit ke-82 selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Namun Kroos yang melakukan kesilapan hingga terhasilnya jaringan pertama Sweden meledak gol kemenangan Jerman pada minit ke-95 hasil sepakan percuma ke penjuru gawang dan gagal diselamatkan penjaga gol, Robin Olsen.

“Kemenangan ini adalah satu tuah dalam masa kecederaan dan kami bangkit daripada ketinggalan,” kata Loew kepada media Jerman, ARD.

“Ia satu keputusan yang berhak kami dapat kerana kami percaya kepada diri sendiri. Kami membuktikan yang kami mempunyai semangat tinggi dalam skuad dan Sweden sebenarnya hanya mempunyai dua peluang.

“Kesilapan seperti itu sentiasa akan berlaku walaupun kepada Kroos, jadi saya gembira kerana dia kemudian menjaringkan gol.

“Hari ini kami melihat hantaran lebih teruk berbanding ketika berdepan Mexico dan ketika kami terlalu menekan terhadap serangan, satu kesilapan boleh menyebabkan gawang kami dibolosi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 5:45 AM