CABAYE (kanan) mengasak pemain Southampton.
CABAYE (kanan) mengasak pemain Southampton.

London: Pengurus Crystal Palace Alan Pardew memuji Yohan Cabaye sebagai pemain yang mampu membantu rakannya melepasi bahaya selepas pemain tengah itu menjaringkan gol ke atas Southampton untuk membawa Eagles ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris.

Cabaye, yang bermain untuk Pardew di Newcastle United, kembali ke England sebagai pemain termahal Palace pada musim perpindahan selepas kurang berjaya di negara asalnya bersama Paris St-Germain.

Pemain berusia 29 tahun itu beraksi dalam 22 perlawanan bersama PSG dan 17 lagi sebagai pemain gantian dan hanya menjaringkan satu gol, namun dalam 16 perlawanan bersama Palace musim ini, dia sudah menjaringkan lima gol.

Cabaye menjaringkan gol tunggal ke atas Southampton Sabtu lalu dan Pardew memuji pemain Perancis itu sebagai seorang yang mampu mengubah corak permainan pasukan.

“Dia cemerlang ketika latihan, dia cemerlang ketika perlawanan, dia cemerlang bila keadaan begitu genting,” kata Pardew.

“Dia boleh melepaskan anda daripada kesulitan. Itulah yang dilakukan pemain hebat dan itulah yang membuatkan anda disenaraikan dalam skuad Perancis.

“Jika Didier Deschamps (jurulatih Perancis) mahu tahu bagaimana prestasi Yohan, dia hanya perlu menonton rakaman perlawanan. Dia sungguh luar biasa.

“Dia mudah menyesuaikan diri, pemain lain menghormati dan memahaminya, dia pemain berbakat istimewa.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:50 AM