TIGA suspek termasuk seorang wanita diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret 4, Ayer Keroh bagi mendapatkan perintah reman. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
TIGA suspek termasuk seorang wanita diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret 4, Ayer Keroh bagi mendapatkan perintah reman. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Tiga individu membabitkan pengurus dan pemilik beberapa firma guaman di Melaka serta Lembah Klang, direman enam dan lima hari sehingga 22 juga 21 Julai ini kerana disyaki memberi suapan wang kepada pegawai bank di sebuah institusi kewangan di negeri ini berjumlah RM12,072.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi, bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Menurut sumber, ketiga-tiga individu disyaki memberi suapan dalam membantu memberikan rujukan kes kepada firma guaman terbabit untuk urusan dokumentasi pinjaman hartanah daripada institusi kewangan terbabit.

Katanya, mereka membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 41 dan 44 tahun ditahan semalam, antara jam 11 pagi hingga jam 2 petang di pejabat SPRM Melaka bagi tujuan membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

"Majistret membenarkan suspek pertama iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 41 tahun direman enam hari manakala suspek ketiga berumur 44 tahun direman lima bermula hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 1:08 PM