Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan direman selama enam hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan rasuah membabitkan urusan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Ketiga-tiga individu berusia 46 hingga 57 tahun itu antara beberapa individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di beberapa negeri, semalam bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada 9.30 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren sebelum Penolong Pendaftar Puteri Nordina Kamalaudin membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman ketiga-tiga individu itu selama enam hari sehingga 3 Mei ini.

Sumber SPRM berkata, ketiga-tiga mereka yang bertindak sebagai ejen dan orang tengah itu menawarkan wang rasuah beberapa kali kepada kakitangan MyEG Services Bhd (MyEG) supaya proses penerimaan PLKS pekerja asing itu boleh dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

"Suspek pertama warga Pakistan ditahan di kawasan Tasek di sini pada 12.30 tengah hari diikuti seorang lagi di restoran di Meru Raya pada 8.10 malam dan seorang lagi di Batu Gajah pada 9 malam," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 12:06 PM
KETIGA-TIGA suspek dibawa keluar selepas direman selama enam hari. FOTO Jalal Ali Abdul Rahim
KETIGA-TIGA suspek dibawa keluar selepas direman selama enam hari. FOTO Jalal Ali Abdul Rahim