Tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan yang direman   di Mahkamah Majistret.
Tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan yang direman di Mahkamah Majistret.
Wan Asrudi Wan Hasan


Ipoh: Tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan urusan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab memerintahkan warga Pakistan itu dibebaskan dengan jaminan SPRM RM3,000 serta dua penjamin manakala dua lelaki tempatan masing-masing diikat jamin RM9,000 dan RM4,000 juga dengan dua penjamin.

Ketiga-tiga lelaki terbabit sebelum ini direman selama enam hari mulai 28 April bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut sumber SPRM, lelaki warga Pakistan berumur 46 tahun ditahan di sekitar Tasek di sini, jam 12.30 tengah hari, 27 April lalu manakala dua lagi rakyat tempatan berumur 57 tahun dan 49 tahun masing-masing ditahan di sebuah restoran di Meru Raya dan di sekitar Batu Gajah pada jam 8.10 malam dan 12.30 tengah hari.

Sumber SPRM memaklumkan, ketiga-tiga lelaki berkenaan bertindak sebagai ejen dan orang tengah dengan menawarkan wang rasuah beberapa kali kepada kakitangan MyEG Services Bhd (MyEG) supaya proses penerimaan PLKS pekerja asing boleh dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 6:24 AM