Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Petaling Jaya: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melancarkan aplikasi digital dikenali MyPLUS-TTA bagi kemudahan pengguna lebuh raya merancang perjalanan semasa musim perayaan.

MyPLUS-TTA membantu mengoptimakan pengagihan trafik untuk mengurangkan risiko kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, MyPLUS-TTA ini akan memberikan manfaat dan kemudahan khususnya kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, seterusnya memperkukuhkan agenda serta memenuhi aspirasi pendigitalan kerajaan.

"Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang biasa dikeluarkan oleh PLUS sejak dari 2007.

"Apa lebih menarik, menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran MYPLUS-TTA di Persada Plus, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar dan Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan teknologi berketepatan tinggi dan efisien.

Beliau turut mengambil contoh, inovasi teknologi penyelenggaraan seperti Kempen MyJalan amat penting dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan pembabitan dan tanggungjawab bersama semua pihak.

Alexander Nanta Linggi berucap ketika majlis pelancaran MyPLUS-TTA di Persada PLUS, Petaling Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Alexander Nanta Linggi berucap ketika majlis pelancaran MyPLUS-TTA di Persada PLUS, Petaling Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

"Saya menggesa semua pemain-pemain industri lebuh raya untuk mengadaptasi perkembangan teknologi terkini melalui inovasi bagi mendorong pembangunan masa hadapan yang mampan dan lestari.

"KKR akan sentiasa menyokong penuh inisiatif terbaharu yang diperkenalkan oleh syarikat konsesi lebuh raya Malaysia terutamanya dalam pembangunan teknologi dan digital yang menjadi fokus utama negara pada masa kini bagi memudahkan rakyat di negara kita sendiri," katanya.

Katanya, bagi menambah baik aplikasi MyJalan, ia juga akan diintegrasikan dengan MyPLUS-TTA pada setiap musim cuti perayaan.

"Integrasi MyPLUS-TTA di dalam MyJalan membolehkan aplikasi ini diakses oleh lebih ramai pengguna lebuh raya dan mengukuhkan lagi fungsi MyJalan sebagai 'One-Stop Centre'," katanya.

Sementara itu, Nik Airina berkata, strategi PLUS adalah memberi tumpuan kepada empat perkara asas iaitu pengagihan trafik, keselesaan pengguna, pengurusan trafik dan insiden yang efisien serta komunikasi dan pengurusan pelanggan.

Katanya, objektif utama MyPLUS-TTA untuk memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan lebih baik bagi melancarkan perjalanan yang selamat, selesa dan tempoh perjalanan yang optimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 3:04 PM