Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tiada kenaikan ketara dilaporkan bagi barang kawalan membabitkan sayur-sayuran seperti cili merah serta bawang setakat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tiada aduan diterima pihaknya berhubung kenaikan barang keperluan itu.

"Berdasarkan pemantauan dilakukan, kami mendapati cili merah dijual pada harga berpatutan. Malah, harga cili sebenarnya sedang turun ketika ini.

"Bagi bawang pula, harganya sudah menunjukkan trend yang stabil. Baru-baru ini, kami ada berjumpa dengan pemborong besar bawang dan pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan keperluan itu mencukupi memandangkan bekalan dari India akan tiba.

"Kenaikan bekalan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk isu pengeluaran dari negara import.

"Namun setakat ini, tiada barang keperluan yang merekodkan peningkatan harga mendadak dan ketara," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di NSK Trade City, Jalan Kuchai Lama, di sini, sempena perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2021, hari ini.

Alexander berkata, sebanyak 16 jenis barangan akan dikawal harga membabitkan ayam, telur ayam, sayur-sayuran, barangan kering dan daging babi bagi perlaksanaan skim pada tahun ini.

"Orang ramai tidak perlu risau memandangkan bekalan makanan adalah mencukupi untuk sambutan Tahun Baru Cina nanti.

"Kami akan sentiasa melakukan pemantauan bagi mengenal pasti sekiranya ada masalah mengenai bekalan makanan," katanya.

DATUK Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO ihsan FB
DATUK Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO ihsan FB

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 7:39 PM