Serdang: Agrobank mengukuhkan komitmen terhadap kesejahteraan peneroka Felda melalui peruntukan dana pembiayaan RM200 juta kepada generasi kedua Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara di bawah program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, melalui pembiayaan PGBF, Agrobank bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan Program Kediaman Mampu Milik-i kepada individu yang layak dengan peruntukkan besar pada tahun ini.
Malah katanya, syarat pembiayaan turut ditambah baik serta menawarkan kadar keuntungan yang lebih rendah kepada pemohon.
"Kita mensasarkan 2,000 permohonan sehingga separuh penggal tahun depan untuk peruntukkan RM200 juta ini,
"Jumlahnya akan ditambah sekiranya terdapat permintaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Mok Cek RM200 juta bagi program Pembiayaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) Sempena Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek,Pengerusi Agrobank Datuk Yunos Abdul Ghani dan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fatah Abdullah.
Tengku Ahmad berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Agrobank bagi memastikan kemudahan pembiayaan ini dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai peneroka di seluruh pelosok negara.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,527 permohonan sudah diterima merangkumi jumlah dana RM137 juta.
Katanya, daripada jumlah itu 566 permohonan sudah diluluskan membabitkan dana sebanyak RM59 juta.
"Terdapat permohonan yang ditolak kerana individu berkenaan sudah membuat pembiayaan lain dan tidak menepati pembayaran seperti direkodkan dalam senarai CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS).