Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang membuka tirainya esok dijangka menjadi tumpuan berikutan menjadi negeri pertama mengadakannya selepas Parlimen bersidang 26 Julai lalu.

Ia susulan polemik politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Umno di peringkat pusat yang dijangka memberi kesan pada Persidangan DUN Johor.

Tindakan kerajaan Johor diterajui Umno yang terus mengambil sikap berdiam diri walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mendesak supaya pendirian jelas diumumkan, sama ada terus menyokong PN atau pun mengikut ketetapan Umno Pusat, dilihat mampu memberi kesan kepada sidang Dun yang selama ini berlangsung tenang.

Minggu lalu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor pula mencuri tumpuan apabila dilaporkan meminta keabsahannya sebagai Menteri Besar supaya dibangkitkan dan dibincangkan ketika persidangan berlangsung.

Mengulas mengenai sama ada berlaku kejutan ketika Persidangan Dun Johor yang bermula esok, Ahli Jawatankuasa Bersatu Johor Datuk Osman Sapian mengambil pendirian untuk tidak mendahului parti.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar berkata, Bersatu Johor mempunyai strategi tertentu namun ia tidak boleh diumumkan secara terbuka.

"Itu (strategi Bersatu) kita tak boleh bincangkan secara terbuka. Kita ada strategi tersendiri.

"Pastinya strategi ini memberi bayangan terhadap apa yang berlaku di peringkat Pusat.

"Apa pun keputusan Bersatu Johor perlu mendapat restu dan kelulusan kepimpinan tertinggi parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti.

"Selagi tiada restu dan kelulusan Presiden, selagi itu tiada kenyataan mengenainya akan dibuat," katanya ketika dihubungi.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan Dun Johor bersidang pada 12 Ogos ini sehingga 22 Ogos nanti.

Sultan Ibrahim dalam hantaran di akaun Facebook rasmi baginda, dilaporkan bertitah berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dun Johor di Kota Iskandar pada tarikh berkenaan.

Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan empat negeri diterajui PN membabitkan Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Terdapat 56 kerusi di Dun Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan Dap masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu) sementara Amanah (sembilan) dan PKR empat).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas Bersatu memberikan sokongan kepada Umno untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:30 PM