SABRI bersama koleksi kostum adiwira kegemarannya. FOTO Mohd Rafi Mamat
SABRI bersama koleksi kostum adiwira kegemarannya. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Bermula dengan minat mengumpul koleksi patung permainan pelbagai watak dari seluruh dunia, kini Sabri Hussin, 42, melangkah lebih jauh ke hadapan dengan menghasilkan kostum karakter adiwira filem kegemarannya.

Ternyata percubaan julung kalinya berhasil.

Dia menggunakan bahan eva foam berkualiti tinggi bagi menghasilkan kostum Batman.

Sabri mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan kostum berkenaan dan yang lebih memuaskan hatinya, ia mendapat pujian banyak pihak.

Bertitik tolak daripada itu, Sabri berkata, dia berjaya menghasilkan lima kostum adiwira hanya selepas enam bulan menceburi bidang berkenaan.

Lima watak adiwira itu ialah Batman, Ironman Mark 7, Captain America, Deadpool dan Tigerman.

"Kelebihan kostum yang saya hasilkan ialah, ia boleh dipakai oleh golongan dewasa bagi mengadakan persembahan termasuk untuk bergambar.

"Saya belajar sendiri untuk menghasilkan kostum ini melalui video tutorial penghasil kostum luar negara di YouTube," katanya yang menetap Kampung Peramu di sini.

SABRI menunjukkan kostum Ironman yang dihasikannya. FOTO Mohd Rafi Mamat
SABRI menunjukkan kostum Ironman yang dihasikannya. FOTO Mohd Rafi Mamat

Sabri yang mengusahakan bengkel mengecat kenderaan berkata, idea menghasilkan kostum adiwira tercetus selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Menurut Sabri, dia menggunakan masa yang terluang ketika itu kerana tidak dapat bekerja, sekali gus mencuba aktiviti baharu terbabit.

"Kerana minat mendalam, saya berusaha mempelajari bidang teknologi komputer yang menjadi rujukan utama bagi menghasilkan kostum.

"Untuk menghasilkan kostum ini, ia bukan hanya memerlukan kesabaran dan ketelitian tinggi, malah perlu melabur banyak wang bagi menghasilkan produk berkualiti," katanya.

KOSTUM adiwira dihasilkan menggunakan bahan berkualiti. FOTO Mohd Rafi Mamat
KOSTUM adiwira dihasilkan menggunakan bahan berkualiti. FOTO Mohd Rafi Mamat

Menurut Sabri, ada tiga peringkat untuk menghasilkan kostum terbabit.

Pertama, membentuk bahagian anggota, mengecat dan mengukir elemen yang terdapat pada sut adiwira dan ketiga, menghasilkan senjata dan aksesori lain.

"Saya mengambil masa antara seminggu hingga dua bulan untuk menyiapkan satu kostum yang sedia untuk dipakai.

"Ia disiapkan dengan RM700 hingga RM1,400 bergantung kepada kostum karakter itu.

"Pada saya, tiada erti rugi atau membazir mengeluarkan wang bagi menghasilkan kostum adiwira kerana semuanya saya lakukan kerana minat," katanya.

SABRI bercita-cita membuka bilik pameran adiwira. FOTO Mohd Rafi Mamat
SABRI bercita-cita membuka bilik pameran adiwira. FOTO Mohd Rafi Mamat

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia pernah sekali memakai kostum Ironman Mark 7 untuk tontonan orang ramai di bandar Kuantan sebelum ini dan ramai menyukainya.

"Malah, mereka turut menyarankan supaya aktiviti berkenaan terus diadakan sebagai tarikan pelancong terutama hujung minggu.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat melakukannya kerana beberapa faktor terutama kesuntukan masa," katanya.

Menurut Sabri, dia juga lebih gemar mengadakan persembahan dengan mengenakan sut berkenaan pada majlis hari lahir serta program sekolah.

Katanya, dia hanya mampu memakai kostum itu untuk tempoh dua jam sahaja pada waktu malam kerana agak panas walaupun boleh bergerak bebas tanpa sebarang masalah.

SABRI turut mengumpul pelbagai koleksi mainan adiwira. FOTO Mohd Rafi Mamat
SABRI turut mengumpul pelbagai koleksi mainan adiwira. FOTO Mohd Rafi Mamat

"Dengan sedikit kemahiran, saya turut menghasilkan saluran YouTube yang memaparkan aksi dengan memakai kostum lima adiwira.

"Ia sudah ditonton lebih 42,600 kali dan kini mempunyai kira-kira 3,000 pengikut. Misi seterusnya ialah menghasilkan kostum Transformers dan beberapa watak lain," katanya yang turut bercita-cita membuka bilik pameran bagi menempatkan kostum berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 7:30 AM