Zahari Kechik
Zahari Kechik
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik menyerahkan kepada proses perundangan untuk menentukan kedudukannya selepas keputusan dibuat oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, beliau tetap dengan pendiriannya untuk terus menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dasar-dasar kerajaan masa kini demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, keputusan berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan parti itu tidak sesekali menjejaskan fokusnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Jeli.

"Saya tidak hirau apa yang berlaku ketika ini tetapi yang penting saya mahu fokus kepada rakyat supaya sepanjang saya menjadi wakil rakyat ini, mereka akan mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada saya.

"Memandangkan pindaan perlembagaan parti itu sudah diluluskan dan prosedurnya akan diangkat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), jadi saya tidak mahu komen kerana ia terpulang kepada parti.

"Cuma buat masa ini, saya serahkan segala-galanya kepada proses perundangan untuk menentukan kedudukan saya," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu media melaporkan, Bersatu akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Anwar untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa, yang mana kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 2:56 PM