STOR di Jalan Sin San, Pasir Putih, Tawau diserbu penguat kuasa KPDN Sabah kerana menyimpan diesel secara haram. FOTO Ihsan KPDN.
STOR di Jalan Sin San, Pasir Putih, Tawau diserbu penguat kuasa KPDN Sabah kerana menyimpan diesel secara haram. FOTO Ihsan KPDN.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Serbuan di sebuah stor berhadapan sekolah di Jalan Sin San, Pasir Putih, Tawau hari ini membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan pada 2.20 petang itu diadakan susulan risikan dilakukan penguat kuasa selama seminggu.

Katanya, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 31 tahun dan menemukan 4,000 liter diesel dalam 18 tong drum berkapasiti 200 liter.

"Sebanyak 2,000 liter barang kawalan itu juga ditemui di dalam lori tangki yang disyaki untuk diselewengkan. Lelaki penjaga stor ditahan untuk diambil keterangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Georgie berkata, pihaknya turut menyita beberapa barangan yang terbabit dalam aktiviti haram itu termasuk satu unit kenderaan pacuan empat roda dan tangki fiber yang diubah suai kapasiti 1,000 liter.

"Turut dirampas 18 tong drum, hos getah, dua unit mesin pam minyak, lori tangki dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM104,500," katanya memaklumkan premis itu tidak mempunyai dokumen dan lesen sah untuk menyimpan diesel.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti yang melanggar undang-undang supaya menyalurkan aduan kepada kementerian melalui saluran WhatsApp iaitu 019-848 8000.

Aduan juga boleh disalur kepada portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:10 PM