MUHAMMAD Abdullah. FOTO Asyraf Hamzah
MUHAMMAD Abdullah. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pengalaman berpuasa buat pertama kali bagi seorang mualaf menjadi detik manis dalam hidupnya apabila dapat menjalani ibadah itu bersama isteri serta anak perempuannya yang juga ikut sama memeluk Islam.

Menceritakan detik sewaktu mula memeluk Islam, Muhammad Abdullah Wong, 53, berkata, dia membuat keputusan itu ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan bermain judi dalam talian pada Februari 2022.

"Semasa berada dalam penjara, saya banyak memikirkan nasib isteri dan anak perempuan di luar sana. Dari situ, saya mula ikut rakan solat kerana saya rasa tenang setiap kali sembahyang.

"Sebaik dibebaskan pada Oktober tahun lalu, saya nekad untuk memberitahu niat saya untuk memeluk Islam kepada isteri, Lim Kim Leng, 51. Alhamdulillah, dia menerima keputusan itu dan mahu turut sama memeluk Islam bersama anak perempuan kami berusia 11 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rahmah Ramadan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 'Iftar Bersama Saudara Kita' di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, di sini, semalam.

Muhammad Abdullah berkata, mereka sekeluarga tidak berdepan sebarang masalah sepanjang tempoh sudah seminggu berpuasa meskipun baru pertama kali menjalankan ibadah itu.

"Setiap hari, kami bangun sahur sama-sama dan saya pesan isteri dan anak supaya makan secukupnya supaya tidak merasa lapar sementara menunggu berbuka puasa.

"Alhamdulillah, mereka nampak seronok berpuasa dan rasa teruja menyambut Aidilfitri nanti. Malah, saya sudah berhasrat untuk membawa mereka membeli baju raya bersama-sama nanti," katanya.

Dia yang juga pemandu lori berkata, dia mempelajari cara-cara untuk solat, mengambil wuduk serta membaca iqra dengan bantuan Amaniah Mualaf Care Centre (AMCC) Kepong.

"Saya bersyukur kerana keputusan memeluk Islam ini direstui ahli keluarga. Walaupun berbeza agama, namun saya masih mengunjungi keluarga sewaktu perayaan Tahun Baru Cina," katanya.

Bagi mualaf, Ahmad Koh Kok Seng, 55, dia berdepan sedikit kesukaran berpuasa pada mulanya akibat masalah kesihatan dialaminya.

"Mula-mula puasa, tangan saya menggigil dan badan rasa letih meskipun ada sahur makan kurma memandangkan saya menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

"Namun, berkat bimbingan isteri, saya gigihkan juga untuk berpuasa penuh. Cuma dalam tempoh seminggu ini, saya ada 'pecah' puasa pada hari kedua ketika bekerja membuat kimpalan.

"Kebanyakan masa saya berada di rumah jika tidak bekerja sebagai jurukimpal ketika bulan puasa ini dan hanya akan keluar rumah kira-kira jam 4 petang untuk beli juadah berbuka puasa," katanya yang memeluk Islam untuk mengahwini isterinya yang juga warga Indonesia berusia 54 pada 7 Februari lalu.

Seorang lagi mualaf, Teong Ying Hwa, 46, berkata, pada mulanya, dia agak kekok untuk bangun sahur setiap hari untuk menunaikan ibadah puasa.

"Apa yang mencabar bagi saya adalah bangun awal pagi setiap hari sepanjang Ramadan ini tetapi dari segi berlapar, saya rasa tiada masalah walaupun sibuk bekerja sebagai pemandu.

"Sambutan Ramadan dan Syawal buat kali pertama ini saya rasa seperti perayaan lain di negara ini yang berbilang kaum. Saya merancang untuk membuat persiapan awal menyambut Aidilfitri kali ini kerana tidak mahu ia dibuat saat akhir," katanya.

Katanya, dia terdetik untuk memeluk Islam kerana jatuh cinta dengan nilai murni dalam agama ini terutama hormat pada orang tua.

"Sudah lama saya berhasrat untuk memeluk Islam kerana ada ramai rakan Muslim, namun mendapat tentangan ibu. Selepas dia meninggal dunia pada 2020, saya memaklumkan niat untuk memeluk Islam kepada rakan.

"Rakan yang menjadi saksi saya memeluk Islam di Pejabat MAIWP pada 28 Jun tahun lalu. Kini, saya sudah pandai baca Al-Fatihah dan beberapa doa dengan bantuan AMCC serta kenalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 4:14 PM