Abdul Halim Voon Abdullah, 41, (kiri) memeluk Islam pada 2016, manakala  Izuan Lee Tian Chuan Abdullah, 42, memeluk Islam pada 2013, semasa ditemui selepas Program Tadarus al-Quran di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Kelantan. FOTO Zaman Huri Isa
Abdul Halim Voon Abdullah, 41, (kiri) memeluk Islam pada 2016, manakala Izuan Lee Tian Chuan Abdullah, 42, memeluk Islam pada 2013, semasa ditemui selepas Program Tadarus al-Quran di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Kelantan. FOTO Zaman Huri Isa
Hazira Ahmad Zaidi


TIDAK terlintas di fikirannya untuk memeluk Islam, namun petunjuk yang diberikan melalui mimpi menyebabkan hatinya tergerak untuk lebih mengenali Islam.

Abdul Halim Voon Abdullah, 41, berkata, dalam mimpi itu, dia didatangi lelaki yang berjubah putih dan berkopiah.

“Mimpi ini muncul ketika saya sedang bertarung nyawa selepas bekalan oksigen terputus hampir tiga saat ketika menjalani pembedahan di Hospital Tawau selepas terbabit dalam kemalangan pada 2009.

“Selepas hampir tiga bulan mendapatkan rawatan di hospital, saya mula mencari jawapan mengenai mimpi ini dan bertanyakan kepada bapa angkat, dan rakan beragama Islam serta ustaz untuk mendalami maksud di sebalik mimpi yang dialami,” katanya ketika ditemui di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di Kota Bharu, kelmarin.

Menurutnya, selepas hampir empat tahun mencari jawapan kepada mimpi yang dialami, dia secara tidak langsung belajar mengenai Islam.

“Alhamdulillah, saya mendapat petunjuk daripada Allah SWT sebelum mengucap dua kalimah syahadah pada 19 Mei 2016 di Sabah.

“Sebaik memeluk Islam, saya mula mendalami dan belajar mengenai Islam di Kompleks Darul Hidayah pada 2017 selama setahun,” katanya.

Dia mengakui keputusan untuk memeluk Islam, mendapat tentangan hebat daripada keluarga.

“Mujur isteri, Masni Azura Mat Taib, 47, yang juga ustazah sentiasa berada di sisi untuk memberi kata-kata semangat.

“Alhamdulillah, selepas mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu, isteri banyak memberi bimbingan dan mengajar saya mengaji al-Quran,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mualaf, Izuan Lee Tian Chuan Abdullah, 42, berkata, dia memeluk Islam pada 2013 kerana ingin mencari hala tuju hidup yang sebenar.

“Islam agama yang suci dan selepas memeluk agama Islam hati saya berasa tenang dan percaya hanya Allah yang satu layak disembah.

“Kini saya tidak mempunyai sesiapa. Ibu meninggal dunia pada 2005 kerana penyakit jantung, manakala ayah pula meninggal disebabkan kanser pada 2011.

“Sejak tujuh tahun lalu, sebaik memeluk Islam, fokus saya adalah utama untuk mencari dan mendalami ilmu mengenai agama ini sebanyak yang mungkin sebagai bekalan di akhirat kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:16 AM