Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Seorang pelakon dan penyanyi berusia 40-an bersama isterinya ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana disyaki menjadi pengikut ajaran sesat Millah Abraham.

Dia yang sinonim dengan persembahan meniru aksi artis legenda, ditahan di rumahnya berhampiran ibu kota minggu lalu selepas JAIS menerima laporan dibuat anak lelakinya sendiri.

Menurut sumber, siasatan awal JAIS mendapati dia sudah mengikuti ajaran berkenaan bersama ahli keluarga sejak lebih tiga tahun lalu selepas mengikut seorang saudaranya yang menyebarkan ajaran itu

“Dia ditahan selepas anaknya sendiri membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana tidak dapat lagi menerima perlakuan ayahnya yang terpesong daripada ajaran Islam.

“Ketika waran dibacakan kepadanya, lelaki itu mencabar penguat kuasa agama supaya berdebat mengenai Islam,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sumber itu berkata, anggota penguat kuasa yang membuat pemeriksaan di rumah lelaki itu turut menemui dokumen dipercayai ‘kitab’ ajaran Millah Abraham.

Menurutnya, artis itu kini menunggu sebutan kes di mahkamah syariah dan disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Selangor kerana kesalahan mengajar atau menjelaskan doktrin palsu.

Setakat ini, lebih 20 individu ditahan dan disiasat pihak berkuasa berhubung ajaran sesat itu sejak 20 Oktober lalu selepas Harian Metro membongkar kewujudannya sejak 7 September lalu.

Laporan bersiri dilakukan akhbar ini termasuk muzakarah antara tiga individu yang juga ‘orang kanan’ ajaran itu dengan Persatuan Penyebaran Islam Antarabangsa Malaysia (IPSI) yang diadakan di sebuah surau sekitar Putrajaya.

Taktik ajaran itu yang merekrut ahli baru umpama sistem perniagaan pelbagai lapisan (MLM) turut didedahkan hasil maklumat daripada pihak lain selepas membaca laporan bersiri akhbar ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengesahkan kegiatan kumpulan terbabit yang aktif merekrut ahli baru dan mendedahkan mereka cuba menyusup ke utara semenanjung bagi menyebarkan ajaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 10:16 AM