MBJB melakukan pemeriksaan pokok warisan berusia lebih 40 tahun di sekitar kawasan bandaraya Johor Bahru. FOTO IHSAN MBJB
MBJB melakukan pemeriksaan pokok warisan berusia lebih 40 tahun di sekitar kawasan bandaraya Johor Bahru. FOTO IHSAN MBJB
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melakukan pemeriksaan ke atas 200 pokok warisan berusia lebih 40 tahun sebagai langkah berjaga-jaga mengelak insiden pokok tumbang yang mengancam keselamatan orang ramai.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, pihaknya mempunyai dua arborist yang mengenal pasti tahap kesihatan semua pokok warisan berkenaan.

"Kerja pemeriksaan pokok sentiasa dibuat arborist. Mereka akan lihat dan kenal pasti pokok yang tidak sihat untuk inventori dan tindakan lanjut sama ada ditebang atau dicantas.

"Walaupun arborist kita tidak mencukupi untuk melakukan pemeriksaan terhadap kesemua pokok dalam masa singkat, kita perlukan konsultan untuk membantu.

"Pada tahun 2021 kita telah periksa 200 pokok berstatus pokok warisan berusia 40 tahun ke atas. Kalau ikutkan pokok warisan kita tidak boleh tebang tetapi kena lihat keadaan pokok tersebut, jika berisiko, kita tidak mahu kejadian di Kuala Lumpur dan Melaka baru-baru ini terjadi di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB di sini, hari ini.

Bulan lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata dengan menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai doktor pokok dalam perkhidmatannya bagi menambah baik pengurusan landskap di setiap kawasan perbandaran.

Kor Ming juga memaklumkan kementeriannya bersedia untuk menolong PBT dalam isu penyelenggaraan pokok berusia tua, khususnya PBT bertaraf majlis daerah di luar bandar.

Pada 7 Mei lalu, kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 1:25 PM