ABDUL Syukor bersama produk pembasmi anai-anai mesra alam yang melayakkan mereka menerima anugerah khas pada International Technology, Innovation and Invention Exhibition (ITEX) 2016.
ABDUL Syukor bersama produk pembasmi anai-anai mesra alam yang melayakkan mereka menerima anugerah khas pada International Technology, Innovation and Invention Exhibition (ITEX) 2016.
Mohd Rafi Mamat


Produk mesra alam dan teknologi hijau menjadi kelebihan pada umpan tiruan anai-anai dihasilkan daripada tandan buah kosong kelapa sawit pertama di negara ini oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan nama komersialnya Pisoptera.

Dalam masa tiga hingga 14 hari selepas produk itu digunakan, serangga perosak berkumpulan yang berada dalam tanah atau sarang musnah secara berperingkat.

Pensyarah bidang Kejuruteraan Alam Sekitar UMP Abdul Syukor Abd Razak berkata, individu bertanggungjawab menghasilkan Pisoptera berkata beliau mengambil masa selama 12 tahun melakukan penyelidikan untuk menghasilkan inovasi umpan tiruan itu yang tidak pernah terfikir sebelum ini.

PRODUK mesra alam dan teknologi hijau menjadi kelebihan pada umpan tiruan anai-anai ini.
PRODUK mesra alam dan teknologi hijau menjadi kelebihan pada umpan tiruan anai-anai ini.

Beliau berkata, beberapa proses perlu dilakukan bagi menghasilkan produk mesra alam itu yang kini semakin mendapat tempat dalam negara berikutan keberkesanannya hingga mampu menandingi beberapa jenama racun serangga import.

Katanya, produk itu digunakan dengan cara menanam tiub Pisoptera ke dalam tanah sedalam 0.31 meter dengan jarak tiga meter setiap satu selepas mengenal pasti kawasan terdapat anai-anai termasuk sarangnya di sekeliling rumah serta bangunan.

“Bagi anai-anai yang berada dalam ‘kediaman’, tiub Pisoptera boleh diletakkan di atas siling dan di laluan serangga berkenaan bagi menarik perhatiannya untuk makan, dalam masa tiga hari saja perosak sentiasa aktif itu akan berkurangan secara berperingkat.

“Produk Pisoptera tidak membahayakan manusia kerana tidak mengeluarkan bau, tandan buah kelapa sawit yang dileraikan menjadi tarikan atau umpan kepada anai-anai untuk makan,” katanya.

UMPAN tiruan anai-anai menggunakan tandan buah kosong kelapa sawit.
UMPAN tiruan anai-anai menggunakan tandan buah kosong kelapa sawit.

Katanya, produk Pisoptera dikeluarkan dan dipasarkan sepenuhnya syarikat UMP Ecopest Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik UMP menggunakan 24 kakitangan beroperasi di pusat komersial bandar Gambang, Kuantan.

“Soal selidik dilakukan mendapati 99 peratus pihak yang menggunakan Pisoptera terdiri daripada jabatan kerajaan, swasta dan individu berpuas hati dengan keberkesanannya dalam menghapuskan anai-anai.

“Setiap bulan syarikat UMP Ecopest menggunakan lebih satu tan tandan buah kosong kelapa sawit bagi menghasilkan antara 50,000 hingga 100,000 tiup bagi memenuhi pasaran tempatan yang terus meningkat,” katanya.

PRODUK mesra alam dan teknologi hijau menjadi kelebihan pada umpan tiruan anai-anai ini.
PRODUK mesra alam dan teknologi hijau menjadi kelebihan pada umpan tiruan anai-anai ini.

Menurutnya, produk itu dijual antara RM1,800 hingga RM5,000 bergantung kepada saiz kawasan ancaman anai-anai dengan beberapa pakej turut disediakan selain perkhidmatan selepas jualan selama enam bulan.Jaminan selama dua tahun turut ditawarkan kepada pelanggan.

“Tumpuan pasaran kini membabitkan beberapa negara seperti India, Sri Lanka, Bangladesh, Korea dan Indonesia yang terkenal dengan aktiviti pertanian kerana anai-anai banyak menyerang kawasan tanaman hingga menyebabkan kerugian besar kepada petani.

“Pemilik ladang gaharu di Assam, India, mempelawa kami membuktikan produk Pisoptera dan tahun depan kita akan ke sana untuk melakukan percubaan, jika berjaya projek yang lebih besar menanti,” katanya yang kini menunggu kelulusan permohonan sijil ISO 9001 dan ISO 4001.

Abdul Syukor yang juga Pengarah Urusan UMP Ecopest berkata, kejayaan merangkul 12 anugerah peringkat kebangsaan dan 14 anugerah antarabangsa meletakkan UMP sebagai universiti pertama merangkul anugerah tertinggi negara.

KAEDAH menanam Pisoptera dalam tanah.
KAEDAH menanam Pisoptera dalam tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 11:27 AM