Tiang palang masuk ke ladang sawit di gali dan dicabut sebelum melarikan buah sawit dalam kejadian di ladang FELDA Serting Hilir Lima. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Tiang palang masuk ke ladang sawit di gali dan dicabut sebelum melarikan buah sawit dalam kejadian di ladang FELDA Serting Hilir Lima. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Sanggup bersusah payah menggali dan mencabut tiang palang pada pintu utama semata-mata untuk melarikan berpuluh tandan buah kelapa sawit.

Itu tindakan sekumpulan penjenayah yang dikesan melarikan tandan buah kelapa sawit milik peneroka di ladang Felda Serting Hilir Lima, di sini.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata kejadian itu disedari seorang pengurus ladang pada jam 9 pagi semalam ketika berada di ladang berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit mendapati tiang pintu masuk ladang itu digali penjenayah dipercayai bagi membolehkan lori dibawa masuk bagi memunggah tandan buah sawit dicuri.

"Tiang itu ditanam di dalam tanah menggunakan simen dan suspek dipercayai menceroboh masuk selepas mencabut tiang pintu masuk berkenaan.

"Penjenayah kemudian bertindak mengait tandan buah kelapa sawit dari 45 batang pokok kelapa sawit," katanya.

Beliau berkata, tiada rondaan dibuat pihak Felda di dalam ladang manakala identiti suspek masih dikesan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 5:04 PM