GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Melaka: Perkhidmatan Klinik Rawatan Kesakitan khusus bagi merawat penyakit kronik seperti 'slipped disc' atau cakram gelincir dan kanser di Melaka akan diperluas ke seluruh klinik kesihatan di negeri itu secara berperingkat.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, rawatan diberikan bertujuan mengurangkan rasa sakit dialami pesakit dan memudahkan pesakit mendapatkan rawatan susulan selain, lebih ramai yang memerlukan dapat menjalani rawatan itu.

"Klinik Rawatan Kesakitan telah lama ada di hospital di negeri ini seperti di Hospital Melaka, Alor Gajah dan Jasin dan ia dikendalikan oleh pakar bius di bawah Jabatan Anestesiologi dan Unit Rawatan Rapi.

"Dahulu pesakit hanya dirujuk di hospital sahaja tetapi kini kita dalam usaha membenarkan pakar perubatan keluarga untuk terlibat dalam rawatan berkenaan di klinik kesihatan," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Anestesia Sedunia Peringkat Negeri Melaka 'Beyond the Screen' di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu kualiti ubat yang dibekalkan di klinik kesihatan untuk merawat penyakit kronik turut akan dipertingkat bagi memastikan ubat yang digunakan berupaya mengurangkan kesakitan pesakit.

Dalam perkembangan lain, Dr Rusdi berkata, Melaka merupakan negeri tertinggi bagi kategori penderma organ tetapi kesedaran umum dalam kalangan rakyat negeri itu masih rendah walaupun pelbagai usaha seperti kempen kesedaran serta penerangan dilakukan secara meluas tentang kepentingan menderma organ.

Beliau berkata, antara stigma yang membantutkan usaha pendermaan organ ialah tidak mahu menyeksa mayat atau tidak mahu mayat dalam keadaan tidak sempurna selain mendapat bantahan daripada waris pengikrar derma organ.

Terdahulu beliau berkata, Hari Anestesia Sedunia yang sepatutnya disambut pada 16 Oktober setiap tahun itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perkhidmatan bius dan kepentingannya dalam rawatan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 3:50 PM