OTHMAN
OTHMAN
myMetro

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam memantau ajaran sesat Millah Abraham di sini supaya tidak terus berleluasa.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak wajar surau dan masjid dijadikan platform untuk menyebarkan ajaran sesat berkenaan kepada penduduk Putrajaya.

“Saya berharap pihak pengurusan masjid dan surau di Putrajaya dapat memastikan setiap individu yang ingin menyampaikan ceramah dan kuliah perlu memiliki tauliah mengajar yang dikeluarkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Saya menyeru penduduk Putrajaya dan seluruh rakyat Malaysia supaya berhati-hati dengan individu yang cuba menyebarkan ajaran sesat ini,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan ajaran sesat Millah Abraham dikesan menular ke Putrajaya sejak lapan bulan lalu.

Kumpulan itu dikesan menggunakan tiga surau untuk menyebarkan fahaman itu.

Berikutan itu, polis Putrajaya meminta masjid dan surau yang ingin mengundang penceramah bebas perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak mereka terlebih dulu.

Susulan itu, seorang anggota polis berperanan sebagai pegawai perhubungan akan ditempatkan di semua masjid dan surau di sekitar Putrajaya.

Othman berkata, orang ramai juga perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar berteraskan kepada Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Katanya, sekiranya mendapati ada individu cuba menyebarkan mana-mana ajaran bertentangan dengan ajaran Islam, mereka perlu tampil membuat laporan.

“Antara penyelewengan dibawa ajaran Millah Abraham adalah mendakwa wujud rasul selepas Nabi Muhammad SAW, meninggalkan solat lima waktu dan solat Jumaat, menyelewengkan konsep hari kiamat dan mendakwa hari kiamat bukan diertikan sebagai Hari Kebinasaan, tetapi hari ditegakkan ajaran Millah Abraham.

“Malah, ia turut mencampuradukkan ajaran dalam al-Quran, Bible dan Taurat (perjanjian lama), taasub dengan kumpulan sehingga sanggup memutuskan hubungan sesama ahli keluarga yang tidak sealiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 10:08 AM