Kuala Lumpur: Seorang ahli politik yang juga bekas calon pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) lalu dikesan antara ‘orang kuat’ kepada gerakan ajaran sesat dikenali Millah Abraham yang pernah dibongkar akhbar ini pada September tahun lalu.

Lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikesan bergerak aktif menyebarkan fahaman itu dalam kumpulan kecil selepas beberapa siri serbuan di sekitar Kuala Lumpur dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Sumber JAWI memaklumkan bahawa hasil risikan yang dilakukan mendapati anggota kumpulan Millah Abraham ini sudah mengubah modus operandi mereka.

“Kini, mereka mengubah taktik dengan mengadakan perjumpaan dalam kumpulan yang lebih kecil terdiri daripada dua hingga tiga orang. Tindakan ini bagi mengaburi pihak berkuasa untuk mengesan mereka.

“Mereka juga kerap melakukan pertemuan di sekitar Lembah Klang dan memilih lokasi tertentu yang dirasakan selamat daripada pemerhatian pihak berkuasa agama,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurut beliau, pihaknya masih meneruskan pemantauan terhadap individu terbabit termasuk masih memburu beberapa lagi ahli kumpulan Millah Abraham yang bergiat aktif menyebarkan fahaman itu.

Akhbar ini mula membongkarkan kegiatan ajaran itu sejak 7 September tahun lalu menerusi laporan bersiri termasuk pendedahan daripada muzakarah yang dilakukan antara tiga individu yang juga ‘orang kanan’ ajaran itu dengan Persatuan Penyebaran Islam Antarabangsa Malaysia (IPSI) yang diadakan di sebuah surau sekitar Putrajaya.

Antara kesesatan ajaran Millah Abraham itu adalah mengangkat nabi baru yang menjadi ketua ajaran terbabit termasuk menafikan ibadat solat kononnya masih belum sampai tempoh wajib ibadah berkenaan.

Hasil maklumat awam, JAWI berjaya menahan lebih 22 individu yang bergiat aktif dalam menyebarkan ajaran itu di sekitar Kuala Lumpur serta merampas beberapa bahan bacaan yang berkaitan dengan ajaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 5:07 AM