GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahauddin


PERTAMBAHAN jumlah berita palsu di media sosial mengenai Covid-19 menyusahkan pihak berkuasa yang kini bertungkus-lumus mahu mengekang penularan wabak itu yang sudah meragut 43 kematian di Malaysia.

Pelbagai pasukan ditubuhkan pihak berkuasa termasuk Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi menangani perkara terbabit.

Hasil pemerhatian Harian Metro, Pasukan Respon Pantas KKMM akan mengeluarkan tiga hingga lima kenyataan media sehari untuk menafikan berita palsu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah mengenal pasti 18 suspek daripada 43 kes penyebaran berita palsu mengenai Covid-19.

Enam daripada suspek termasuk seorang selebriti sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala lima suspek sudah diambil keterangan di beberapa lokasi di Perak dan Pulau Pinang.

SKMM bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutama mengenai Covid-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat.

“SKMM memandang serius sikap tidak bertanggungjawab individu atau kumpulan yang menyebarkan berita palsu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Memulakan atau menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah. SKMM dan PDRM memantau perkara ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang ragu mengenai kesahihan sesuatu berita diminta melayari laman sesawang Sebenarnya.my atau pautan telegram, https://t.me/sebenarnyamy.

“Maklumat mengenai penularan berita palsu Covid-19 juga boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ di https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:06 PM