JAUTEH menunjukkan dadah syabu dan wang tunai yang dirampas selepas berjaya menahan lima pengedar dadah di lima daerah di Sabah. FOTO Juwan Riduan
JAUTEH menunjukkan dadah syabu dan wang tunai yang dirampas selepas berjaya menahan lima pengedar dadah di lima daerah di Sabah. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis mematahkan empat kegiatan pengedaran dadah membabitkan nilai rampasan RM1.2 juta selepas menahan lima individu termasuk remaja dalam tempoh empat hari pertama bulan ini.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu merampas 14 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM840,000.

Selain itu, polis turut menyita 11 kenderaan mewah, barangan kemas dan wang tunai daripada keempat-empat tangkapan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, lima suspek berusia lingkungan 17 hingga 40-an itu ditahan di Tawau, Lahad Datu, Semporna, Inanam dan Tuaran.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada jam 11.45 pagi Isnin lalu di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu.

"Dalam serbuan itu, polis menahan lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dilihat sedang meletakkan sebuah kotak ke dalam bonet kereta.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas 10 bungkusan disyaki berisi syabu dengan berat kasar 10.05 kilogram bernilai kira-kira RM600,000," katanya dalam sidang media yang diadakan di IPK Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, operasi diteruskan dengan penahanan empat lagi lelaki bersama empat kilogram dadah.

Katanya, seorang lelaki tempatan dan warga asing ditahan bersama 2.03 kilogram syabu bernilai RM120,000, Isnin lalu di Semporna.

"Sementara itu pada keesokan harinya, remaja lelaki warga asing ditahan di Inanam selepas didapati memiliki 1.07 kilogram dadah.

"Operasi diteruskan dengan menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 33 tahun yang turut didapati membawa 1.05 kilogram syabu," katanya.

Sementara itu, Jauteh berkata, rampasan turut membabitkan wang tunai sebanyak RM164,000, barang kemas bernilai RM172,000, barangan eksklusif seperti beg dan jam tangan bernilai RM90,000.

Katanya, 11 kenderaan yang dipercayai hasil daripada aktiviti itu pula dianggarkan bernilai RM790,000 dan menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM1.2 juta.

"Semua syabu yang dirampas itu boleh digunakan sehingga 50,000 penagih dadah dan ini rampasan terbesar untuk suku tahun ini bagi IPK Sabah.

"Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 2:49 PM