Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Projek runtuhan tebing di Kampung Pohon Celagi, di sini, membabitkan kos RM65 juta akan disiapkan pada November ini iaitu sebelum musim tengkujuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, menerusi peruntukan berkenaan, ia termasuk membabitkan kos RM45 juta bagi kerja-kerja pembinaan benteng dan tanah serta menstabilkan tebing sungai selain RM11.2 juta membabitkan pampasan kepada pemilik tanah serta bangunan.

"Projek ini membabitkan empat komponen iaitu mengorek pasir, meletakkan batu, membina benteng serta mengorek sungai.

"Empat komponen berkenaan akan dilakukan serentak dan kita akan memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dalam masa tiga bulan iaitu November ini.

MUSTAPA (tengah) meninjau baikpulih runtuhan tebing ketika lawatan kerja di Kampung Pohon Celagi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUSTAPA (tengah) meninjau baikpulih runtuhan tebing ketika lawatan kerja di Kampung Pohon Celagi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Kita akan memastikan projek berkenaan siap sebelum musim tengkujuh bagi mengelak berlaku banjir teruk di kawasan ini," katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja di Projek Pelaksanaan Segera Runtuhan Tebing di Kampung Pohon Celagi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, projek berkenaan yang berkeluasan 1.4 hektar itu akan dijadikan taman awam dan siap secara keseluruhan pada Mac tahun hadapan.

Dalam kejadian 17 Februari lalu, berlaku runtuhan tebing Sungai Kelantan di kampung berkenaan yang memusnahkan sebahagian kawasan perumahan, jalan, stuktur penahan tebing dan rumah pam di kawasan berkenaan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 12:51 PM